Jelajah Desa ke Penaga bawa mesej silaturahim semua kaum

Admin

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB

JELAJAH Desa Lim Kit Siang Ke Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga baru-baru ini tetap mendapat sambutan pelbagai kaum.

Bercakap kepada pemberita, Ahli Parlimen Gelang Patah berkenaan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama untuk saling mengeratkan hubungan silaturahim atas semangat Malaysia yang sebenar.

Ini kerana katanya, Kerajaan Persekutuan menjelang pilihan raya umum nanti akan berusaha menyemarak lagi prasangka dalam kalangan rakyat dengan menyebarkan pelbagai berita palsu, untuk terus berkuasa di pusat pentadbiran Putrajaya.

“Semua rakyat yang berbilang kaum dan agama adalah manusia, mesti menguatkan semangat silaturahim (untuk memcegah) syak wasangka dan apa-apa kebencian.

“Tetapi, ada segelintir pemimpin parti sanggup menyebarkan berita-berita palsu kononnya saya sendiri anti Islam dan anti Melayu, demi mengekalkan kuasa politik mereka di Putrajaya,” jelasnya dekat Warung Zul Capati di tengah-tengah Pekan Penaga baru-baru ini.

Dalam jelajah itu, Kit Siang diiringi Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai serta Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal).

Turut serta, Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul; Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Penaga, Ramli Omar; Pegawai Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng serta dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohamad Shaipol Ismail dan Zulkifly Ishak.

Difahamkan, sebelum ke Penaga, Kit Siang mengetuai acara jelajah desa sama ke Kampung Permatang Tok Subuh dekat Parlimen Bukit Mertajam pada 21 Januari lepas; 22 Januari ke Sungai Gelugor; serta 25 Januari ke Kampung Nelayan, Kampung Paya dan Teluk Kumbar.

Selesai sidang media di Pekan Penaga, jelajah Kit Siang dibawa bertemu golongan peniaga kecil di sini.

Kemudiannya, beliau bersama-sama delegasi ke Surau Kampung Baru, Surau Padang Tembusu serta ke sebuah kampung di Penaga bagi tujuan penyerahan periuk besar untuk kegunaan majlis kenduri keraian kepada pemimpin komuniti setempat.

Rombongan tersebut dibawa melihat pertandingan persahabatan antara pasukan Anak Penaga dan DAP Kepala Batas di gelanggang futsal negeri di sini.

Kit Siang turut mencuri kesempatan menziarahi Hashim Musa, 83, yang mengidap sakit barah usus dengan ditemani isteri, Munah @ Khadijah Ismail, 78.

Di Kampung Padang Tembusu, Kit Siang menyerahkan hamper makanan kepada Sab Hashim, 81, yang lumpuh, ditemani isteri, Khadijah, 70-an serta anak, Suib Sab, 34. Rombongan berkenaan kemudiannya diraikan dalam majlis jamuan tengah hari di perkarangan rumah Mohamad Shaipol dekat Pengkalan Bogor.