Cepat dapat rawatan doktor bila demam, seru KM

Admin

Tuan Lim Guan Eng, menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga Minah Kama, 70, berikutan anaknya, Allahyarham Salmah Junus, 46, menjadi mangsa korban wabak denggi terbaru di Teluk Kumbar.

Kes tersebut menjadikan jumlah kematian pada minggu ketujuh pada tahun ini adalah sebanyak empat kes.

“Saya melahirkan rasa bimbang tentang wabak denggi yang meragut nyawa keempat di Pulau Pinang… dan ini adalah mangsa pertama di kawasan pulau serta kawasan kampung yang mana tiga mangsa sebelum ini adalah membabitkan kawasan bandar di Seberang Perai.

“Selain perlu cepat mendapatkan rawatan doktor apabila demam, saya juga ingin menasihati semua supaya cepat-cepat memaklumkan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila syak manamana lokasi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” serunya ketika menyerahkan sumbangan kepada Minah dekat Kampung Matahari Naik, Teluk Kumbar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dan Pegawai Kesihatan Daerah Barat Daya, Dr. Mohamed Iqbal Hamzah.

Allahyarham Salmah meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 7 Februari lalu setelah dimasukkan ke Hospital Balik Pulau dua hari sebelumnya.

Dalam pada itu, Dr. Mohamed Iqbal menyatakan bahawa masyarakat perlu memainkan peranan penting terutamanya isu berkaitan kebersihan.

“Masyarakat perlu memberi kerjasama bagi bersama-sama mencegah wabak ini.

“Malah, baru-baru ini, hasil pemeriksaan, Jabatan Kesihatan Daerah Barat Daya turut mengesyaki beberapa kawasan pembinaan setempat kemungkinan menjadi punca penularan wabak denggi di sini dan tindakan segera perlu diambil,” jelas beliau.