Jelajah prestasi bukti usaha iktiraf persekitaran hijau

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF & MOHD. HAFIZ TAJUDIN

TANJUNG BUNGA – Jelajah Prestasi  Hijau Pulau Pinang yang memaparkan pencapaian Kerajaan Negeri dalam mengiktiraf kepentingan persekitaran global membuktikan kesungguhan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) negeri dalam menjadikan masyarakat setempat lebih bersih serta hijau sepanjang tempoh lima tahun bermula 2008.

Langkah demi langkah diimplementasikan Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang sesuai didiami dan mempunyai kualiti hidup.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, wawasan untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri antarabangsa dan pintar perlu dimulakan dengan mendidik serta memupuk semangat masyarakat agar lebih bersih dan hijau.

“Pulau Pinang telah menjadi negeri pertama di Malaysia melancarkan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Malah, pada 2011, kita (Pulau Pinang) telah laksanakan sepenuhnya kempen ‘Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma’,’’ katanya ke tika merasmikan Jelajah Laporan Prestasi Hijau Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Penang Green Council (PGC),  Thing Siew Shuen,  Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang  dan Alam Sekitar, Phee  Boon Poh, Ahli Parlimen Tanjung, Ng  Wei Aik dan Yang  d i Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Maimunah Mohd. Sharif.

Menurut Guan Eng, pada tahun lalu, Pulau Pinang dicalonkan sebagai bandar kecil pertama menyertai The Climate and Clean Air Coalition toReduce Short-Lived  Climate Pollutants (CCAC) iaitu satu inisiatif yang ditubuhkan sejajar dengan Program Persekitaran Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (UNEP).

“Dalam mempromosikan Zero Waste (Pembuangan Sisa Sifar), penggunaan bekas  polistirena juga telah diharamkan dalam semua acara rasmi kerajaan pada 2009.

“Pulau Pinang juga telah mencapai kadar kitar semula sebanyak 24 peratus pada tahun 2011 iaitu melebihi kadar sasaran kitar semula negara sebanyak 20 peratus bagi 2 020. Ini bermakna kita (Pulau Pinang) sembilan tahun lebih awal di dalam usaha ini,” ujar beliau.

Beliau memberitahu, dalam mewujudkan persekitaran rendah karbon, perkhidmatan CAT dan Bridge Express Shuttle Transit (BEST) juga diperkenalkan dengan tambang  percuma melalui peruntukan RM184,800 setiap bulan Kerajaan Negeri.