Didik pelajar kitar semula melalui buku catatan

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BAGAN DALAM – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal mempergiatkan  semula aktiviti kesedaran kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah rendah melalui program Buku Bank Kitar Semula di sini.

Menurut mantan Pengerusi Local Action 21 (LA21) MPSP, Soon Lip Chee, program Buku Bank Kitar Semula telah diperkenalkan MPSP sejak empat tahun lalu.

“Buku Bank Kitar Semula merupakan sebuah buku catatan yang merekodkan jumlah barang dikitar semula oleh pelajar dan dibawa ke sekolah untuk dikumpulkan.

“Setiap pelajar yang bawa barang-barang untuk dikitar semula di sekolah akan direkodkan dalam buku bank berkenaan oleh guru.

“Tujuannya adalah untuk menerap dan menggalakkan budaya kitar semula dalam kalangan pelajar bukan sahaja di sekolah, tetapi juga di luar sekolah,’’ katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah Lip Chee yang kini bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, setiap pelajar perlu mengisi butir-butir diri mereka di dalam buku bank tersebut dan catatan akan dibuat seminggu atau sebulan sekali.

“Bahan-bahan kitar semula yang dikumpul di sekolah akan dihantar ke pusat kitar semula.

“Dari situ, sekolah akan dapat sedikit sebanyak wang untuk menampung perbelanjaan elektrik, air dan juga boleh digunakan bagi penganjuran aktiviti-aktiviti lain,” ujarnya di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa 2, Butterworth di sini.

Katanya, selepas ini, beliau berhasrat pihak sekolah dapat melaksanakan program kitar semula berkenaan secara besar-besaran.

“Kerajaan Negeri dan MPSP akan memberi galakan kepada mereka (sekolah) yang turut serta.

“Kita (MPSP) akan bimbing pihak sekolah berhubung kaedah pelaksanaan aktiviti kitar semula ini secara berkesan bagi menjana pendapatan tambahan bagi pihak terbabit,” jelasnya.

Antara sekolah yang berjaya menjalankan aktiviti tersebut adalah SRJKC Chung Hwa 2, SRJKC Kwang Hwa dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light.