Jerebu, ADUN diminta edarkan segera pelitup

GEORGE TOWN – Keadaan berjerebu di Pulau Pinang telah memasuki hari kelapan dan bacaan melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) turut mencatatkan peningkatan.

Susulan itu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memaklumkan bahawa sebanyak 100,000 unit face mask atau pelitup akan diserahkan segera kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk diedarkan di kawasan masing-masing.

Jelasnya, walaupun hujan di beberapa kawasan di negeri ini, namun keadaan jerebu masih tidak reda. Malah, bacaan IPU di Balik Pulau mencecah 137 pagi ini, melepasi tahap IPU 100.

“Justeru, Kerajaan Negeri memutuskan supaya semua ADUN mula memberi atau mengedarkan face mask (pelitup) khasnya kepada kanak-kanak dan warga emas.

“(Dan) pejabat saya menyediakan 100,000 unit pelitup untuk diedarkan segera di kawasan (KADUN) masing-masing,” ujar beliau pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri di Komtar tengah hari ini.

PEMANDANGAN dari Bangunan Komtar hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin dan ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

Mengulas lanjut, Boon Poh turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menjadi penyumbang dan memburukkan lagi keadaan ketika jerebu.

“Sama seperti tindakan terhadap pembuangan sampah secara haram, Kerajaan Negeri juga tidak akan bertolak ansur dan bakal mengenakan kompaun sehingga RM500,000 kepada pelaku yang didapati membuat pembakaran sampah komersial secara terbuka.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga telah menasihati para pemaju dan pemain industri (di kawasan perindustrian) untuk mengurangkan aktiviti yang boleh menyumbang kepada masalah jerebu.

“Bagi sekolah-sekolah di Pulau Pinang, pihak Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan arahan lanjut mengenai langkah-langkah kawalan semasa jerebu,” jelasnya sambil menasihati orang ramai supaya mematuhi langkah-langkah yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan mengenai jerebu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow juga memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan semua aktiviti sukan sehingga suatu notis yang akan diberitahu kelak.

“Saya telah menerima makluman daripada YB Soon (Lip Chee, Exco Belia dan Sukan) bahawa sebarang aktiviti sukan telah diarahkan supaya ditangguhkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak,” katanya yang meminta supaya pihak berkaitan memantau situasi semasa jerebu dari masa ke masa.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan mengeluarkan 10 langkah pencegahan bagi menghadapi kesan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.

Antaranya, elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan; tangguhkan penganjuran aktiviti fizikal di luar bangunan apabila IPU melebihi 100 selaras Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dengan tidak merokok, tidak membuat pembakaran terbuka dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman, banyakkan minum air kosong serta awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidapi penyakit respiratori dan jantung.

Sebagai rekod, bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, manakala 51 hingga 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI