JKKK Kg. Melayu anjur Malam Kebudayaan & Kesenian

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM– Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Melayu dengan kerjasama Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan Aura Life Sdn. Bhd. menganjurkan Malam Kebudayaan dan Kesenian sempena Rumah Terbuka Aidilfitri di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai berkata penganjuran malam kebudayaan berkenaan telahpun memasuki tahun keenam dan beliau masih teruja setiap kali menyambutnya.

“Tahun keenam saya bersama JKKK Kampung Melayu dan saya amat gembira kerana bukan sahaja pelbagai persembahan diadakan tetapi juga kehadiran masyarakat yang berbilang kaum dan harmoni.

“Terima kasih kepada semua pihak kerana menjayakan penganjuran Malam Kebudayaan dan Kesenian ini terutama jawatankuasa penganjur yang bertungkus- lumus menganjurkannya saban tahun demi kesejahteraan dan merapatkan hubungan dalam kalangan komuniti di sini,” kata Hon Wai baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.

Selain persembahan kebudayaan dari kumpulan boria, turut diadakan pertandingan pakaian beragam tradisional, nyanyian dan tarian tradisi pelbagai kaum.