Sukan tempur Kendo curi tumpuan

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU UBAN-– Seramai 200 orang peserta dari pelbagai negara seperti Malaysia, Brunei, Kemboja, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam menyertai Pertandingan Kendo ke-10 Asia Tenggara yang berlangsung di Dewan Badminton Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng sempat menceritakan serba sedikit sejarah diplomatik antara negara Jepun dan Asia Tenggara sejak 1970-an apabila Jepun menawarkan bantuan dari segi ekonomi, budaya dan akademik kepada negara di sini.

“Pujian harus diberikan kepada Persatuan Kendo Antarabangsa (IKA) yang telah mempromosikan seni bela diri ini juga pada era yang sama.

“Saya juga gemar untuk mengucapkan tahniah kepada ‘watak-watak utama’ yang tanpa rasa jemu, mempromosikan seni Bela Diri Kendo ke serata dunia,” ujar beliau semasa ucaptamanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Konsulat Jepun ke Pulau Pinang, Ryuji Noda, Ronald J.P Manik (Konsulat Jeneral Indonesia), Srirat Vathesatogkit (Konsul Jeneral Thailand), Datuk Dr. Abdullah Malim Baginda (Presiden Persatuan Kendo Malaysia) dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti·dan Kesenian).

Menurut Guan Eng, Kejohanan Kendo pertama pernah dilangsungkan di negara ini pada tahun 1988.

Tambahnya kejohanan pada kali ini merupakan ulangtahun kali ke-25 bagi Kejohanan Kendo ASEAN dan ulangtahun kali ke-40 persahabatan diplomatik Jepun-ASEAN.

“Pada tahun ini, saya berbangga kerana kejohanan ini, telah datang ke Tapak Warisan Dunia UNESCO yang masyhur, Pulau Pinang.

“Saya turut berbangga kerana Pulau Pinang pada kali ini diberi peluang menganjurkan acara ini bagi peringkat ASEAN dan berharap dapat diteruskan bagi peringkat antarabangsa satu hari nanti,” ujar beliau lagi.

Kejohanan selama dua hari itu menyaksikan Malaysia mengungguli dua emas melalui acara wanita individu dan berpasukan.

Azmi Mohamed Sabri bersama-sama LeeYan-Ying, Looi Yeen May, Tan Sioh-Yang dan Mimi Thian muncul juara berpasukan dalam pertandingan itu.

Lebih membanggakan, katanya, pasukan Malaysia dipilih sebagai penerima anugerah ‘Semangat Lawan Berpasukan’ terbaik bagi saingan kali ini.