JKKK penghubung Kerajaan Negeri, rakyat – KM

BERTAM – Seramai 4,059 orang, termasuk 953 wanita dilantik menerima surat pelantikan sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dalam dua majlis rasmi di bahagian pulau dan Seberang Perai baru-baru ini.

Ketika berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap mereka yang dilantik memainkan peranan sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan masyarakat setempat.

“Sekiranya anda gagal memainkan peranan sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan rakyat, mungkin kita juga akan tumbang dalam pilihan raya besar akan datang,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung DAP di Dewan Millennium Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Turut berucap pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JKKK Peringkat Seberang Perai berkenaan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng dan Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan).

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri hari ini sedar peri penting fungsi JKKK, hatta menaikkan RM50 lagi elaun bulanan Pengerusi jawatankuasa itu menjadi RM700 berkuat kuasa pada 1 Januari lepas. Malah, katanya, elaun bulanan Setiausaha JKKK turut ditambah RM50 lagi menjadi RM600.

Tidak cukup dengan itu, tambah beliau, Kerajaan Negeri turut menaikkan RM10 lagi elaun mesyuarat menjadi RM50, yang layak dinikmati oleh semua anggota JKKK.

“Bagi elaun Pengerusi dan Setiausaha untuk 299 JKKK menelan peruntukan tahunan sebanyak RM4,664,400, manakala peruntukan tahunan elaun mesyuarat mereka keseluruhannya, RM1,332,200.

“Penambahan elaun baharu ini akan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM7,295,600 setahun dengan peningkatan sebanyak 12.75 peratus, berbanding perbelanjaan keseluruhan JKKK bagi tahun 2017 sejumlah RM6,470,360,” jelasnya.

Justeru, Guan Eng menyeru semua anggota JKKK meningkatkan mutu perkhidmatan serta membantu kemenangan Pakatan Harapan (PH) untuk menang dalam penggal ketiga sebagai Kerajaan Negeri dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Sebelum itu, Mohd. Rashid menyatakan bahawa terdapat 287 daripada semua 299 JKKK di kelima-lima daerah diperakukan menerima surat pelantikan JKKK bagi dwi tahunan ini.

Di Bahagian Seberang Perai, seramai 2,334 orang termasuk 520 wanita mengisi perjawatan dalam 58 JKKK dari Daerah Seberang Perai Utara (SPU), 64 JKKK dari Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan 42 lagi JKKK dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS). 1,725 lagi anggota JKKK adalah dari Daerah Timur Laut (DTL) dan Daerah Barat Daya (DBD).

Sementara itu, beberapa JKKK yang ditemui dalam Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JKKK Bahagian Pulau dekat Dewan Sri Pinang masing-masing menyatakan iltizam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengukuhkan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Negeri.

S. DEEPA, 29, berkata, beliau berhasrat untuk mengukuhkan kepemimpinan wanita di peringkat komuniti.

“Saya berasa sedikit gementar apabila terpilih sebagai JKKK Ladang Lada di bawah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Kebun Bunga kerana ini merupakan kali pertama saya akan berkhidmat kepada masyarakat.

“Saya bertekad akan memberikan perkhidmatan terbaik, khususnya melibatkan golongan yang memerlukan serta memperkasakan penglibatan kaum wanita seperti diamanahkan oleh Ketua Menteri,” ujarnya yang berkhidmat sebagai juruwang.

MOHD. HAFIZ ABDUL AZIZ, 55, turut melahirkan penghargaan kerana kekal dilantik sebagai JKKK.

“Ini merupakan penggal ketiga saya menjadi JKKK bagi kawasan Taman Tun Sardon.

“Saya gembira dapat memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat seperti yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan Pakatan Harapan (PH) terus memenangi hati rakyat.

“Ini kerana, bagi saya Kerajaan Negeri hari ini adalah yang terbaik, tambahan pula ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) di kawasan saya, R.S.N. Rayer yang kerap kali turun padang sampai kadang-kala kami (JKKK) ini pun letih,” selorohnya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Nada sama turut diluahkan oleh MERASIK JABBAR, 64.

“Saya bekas ahli UMNO, jadi saya tahu apa beza JKKK zaman pemerintahan dahulu dengan pemerintahan sekarang. Kerajaan Negeri sekarang bertindak lebih efektif dan berkesan, buat kerja laju tanpa pilih kasih.

“Misalnya, kami (JKKK) kalau mohon bantuan kerusi roda, lampin pakai buang dan lain-lain, Yang Berhormat (YB) akan cepat respons kepada permintaan.

“Saya berani cakap, jika masuk kawasan Sungai Gelugor, jika kutuk Rayer kata tidak bagus, maka penduduk akan marah, jadi itulah tahap perkhidmatan ADUN yang kami JKKK banggakan hari ini,” jelasnya yang juga Pengerusi JKKK Sungai Gelugor.

SHAHROM KHAMIS, 42 pula berkata, pihaknya akan terus memulihara infrastruktur kemudahan awam komuniti sebaik mungkin.

“Sepanjang tiga penggal di JKKK Mayang Pasir, sedikit-sebanyak perubahan kami sudah lakukan di sana, antaranya tandas awam yang sebelum itu 10 tahun tidak dapat digunakan, kami berjaya pulihkan semula.

“Selain itu, JKKK juga mengambil inisiatif memulihkan padang bola sepak di Bayan Baru, naik taraf longkang, penambahan taman permainan yang lebih besar, aktiviti hari keluarga, pertandingan bola sepak sembilan sebelah, gotongroyong perdana dan pelbagai lagi.

“Bagi penggal baharu, saya sasarkan untuk mendapatkan gelanggang futsal bagi Blok A dan B dekat Mayang Pasir bagi kemudahan anak-anak muda di sini,” jelasnya.