Dasar hijau, Empangan Teluk Bahang capai bacaan 100%

TELUK BAHANG – Paras air di Empangan Teluk Bahang kini berada pada kapasiti penuh bagi menempuh musim panas dan kering yang lazimnya berlaku pada setiap suku tahun pertama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika melakukan tinjauan ke Empangan Teluk Bahang berkata, terkini kapasiti empangan berkaitan menunjukkan bacaan 100 peratus dan mampu membekalkan bekalan air sehingga 304 hari.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sememangnya menjalankan dasar hijau.

“Selain pengurusan yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) oleh pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), dua pendekatan lain turut diguna pakai bagi mengelakkan Pulau Pinang daripada mencatu air.

“Kita (Kerajaan Negeri) telah meletakkan garis panduan bahawa kawasan bukit yang melebihi 250 kaki, sama sekali pembangunan tidak dibenarkan.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mewartakan kawasan-kawasan tadahan air di Pulau Pinang, masyarakat boleh lihat di seluruh kawasan tadahan air di sini, persekitarannya masih kekal hijau.

“Sebab inilah empangan ini (Teluk Bahang) penuh 100 peratus,” ujarnya yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam di sini 20 Januari lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid; PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan kakitangan PBAPP.

Difahamkan, kali terakhir Empangan Teluk Bahang mencatat bacaan penuh ialah pada tahun 2013.

Dengan maksimum kapasiti 19 bilion liter air, hanya lima kali sepanjang 18 tahun sejak pembinaannya (tahun 1999), ia mencatat bacaan penuh.

Dalam pada itu, Guan Eng turut melahirkan kerisauan terhadap tahap kapasiti air di negeri Kedah yang secara tidak langsung turut akan memberi impak kepada Pulau Pinang.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi perhatian dan melakukan pembenihan awan sebagai langkah menghadapi musim kering.

Dalam pada itu, pendapat sama turut disuarakan Jaseni kerana menurutnya, ia adalah masa terbaik untuk melakukan pembenihan awan.

“Pembenihan awan adalah langkah terbaik untuk mengelakkan krisis bekalan air.

“Dan ia (pembenihan awan) perlu dilakukan sekarang ekoran keadaan awan yang masih ada berbanding musim panas nanti,” jelas beliau.