JKKK Pinang Tunggal terima watikah, komputer riba

Oleh:AHMAD ADIL MUHAMAD

KEPALA BATAS – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menggesa semua ahli lapan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dalam kawasan Pinang Tunggal supaya memegang amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya di sini baru-baru ini.

Gesaan itu dibuat susulan penyerahan komputer riba dan mesin pencetak kepada setiap JKKK di kawasan tersebut daripada Kerajaan Negeri bagi memudahkan mereka berurusan dengan masyarakat.

“Wasilah merupakan satu amanah yang dipertanggungjawabkan dan bukannya untuk disia-siakan.

“Peruntukan dan kuasa yang diberi haruslah digunakan sebaik- baiknya untuk manfaat rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik,” katanya pada Majlis Penyampaian Komputer Riba dan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) JKKK di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Hakmal Effendi Ishak, Rosidi Hussain (Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri), Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang, ZPP) dan Muhasdey Muhamad (Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pinang Tunggal).

Pada majlis itu, Mohd. Rashid turut menyerahkan watikah pelantikan kepada semua 114 ahli JKKK bagi sesi 2013/2014.

Daripada jumlah tersebut, seramai 34 orang merupakan ahli lantikan baru manakala 80 lagi adalah lantikan semula.

Tambah Mohd Rashid, kombinasi antara pegawai penyelaras KADUN, JKKK, Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dan Briged Wanita mampu membentuk satu rangkaian terbaik bagi menghubungkan Kerajaan Negeri dengan rakyat.

“Kempat-empat agensi tersebut adalah mata dan telinga Kerajaan Negeri diperingkat akar umbi bagi membantu menyelesaikan masalah serta aduan rakyat.

“Justeru, agensi-agensi ini perlu rapat dengan masyarakat dan perlu sentiasa berurusan dengan pejabat daerah bagi memberikan khidmat yang terbaik untuk mereka,” ujar beliau.