Edar 500 bubur asyura resipi istimewa

BAYAN LEPAS – Sebanyak kira-kira 500 bungkus bubur asyura diagihkan kepada penduduk sekitar pekan Bayan Lepas di sini sempena Program Kacau Bubur Asyura 1435H baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bayan Lepas, Abdul Rahim Sanusi berkata, sebanyak dua periuk besar dan satu periuk kecil bubur asyura diperbuat daripada resipi istimewa.

“Penyediaan secara gotong-royong melibatkan Ahli Jawatankuasa (AJK) JKKK Bayan Lepas dan juga AJK PAS Cawangan Jalan Mahkamah.

“Bukan sahaja aktiviti seperti ini digalakkan dalam Islam, malah bersesuian dengan sambutan awal Muharram, baru-baru ini,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini.

Bubur asyura yang disediakan dimasak oleh mantan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Yusoff Noor dan turut dibantu kaum ibu JKKK Bayan Lepas.

Tambah Abdul Rahim, bubur asyura di utara Semenanjung biasanya menggunakan kekacang seperti kacang kuda, kacang hijau, kacang putih, kacang tanah dan kacang merah.

“Selain kekacang, istimewanya bubur asyura ada diletakkan pisang awak, ubi keledek dan jagung untuk menambah rasa bubur asyura,” jelas beliau.