JKKK Titi Teras johan lagi

Admin
SEBAHAGIAN daripada ahli pasukan sukarelawan COMBI JKKK Titi Teras bergambar kenang-kenangan bersama barisan juri dan Mohd. Tuah Ismail (duduk, dua dari kanan) beserta piala yang dimenangi.
SEBAHAGIAN daripada ahli pasukan sukarelawan COMBI JKKK Titi Teras bergambar kenang-kenangan bersama barisan juri dan Mohd. Tuah Ismail (duduk, dua dari kanan) beserta piala yang dimenangi.

BALIK PULAU – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Titi Teras terus mengorak langkah melakar pelbagai pencapaian dan kejayaan. Terbaru, JKKK Titi Teras telah dinobatkan sebagai johan pasukan sukarelawan COMBI bagi Daerah Barat Daya anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya, di sini.

Sebelum ini, JKKK Titi Teras pernah dinobatkan sebagai JKKK terbaik, mengalahkan 290 JKKK lain serta memenangi ganjaran RM50,000 bagi kegunaan pembangunan prasarana pilihan JKKK. JKKK Titi Teras telah memilih untuk membangunkan gelanggang futsal serbaguna di Titi Teras.

Menurut Pegawai Penyelaras KADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail, di kawasan JKKK Titi Teras telahpun diwujudkan program-program berbentuk kesihatan di samping mendapat sokongan daripada Pejabat Kesihatan Daerah. Malah penubuhan pasukan sukarelawan COMBI ini adalah rentetan Program Kesihatan Titi Teras.

Tambah beliau lagi, program ini dijalankan mengikut ‘cluster’ iaitu ahli pasukan dibahagi mengikut kategori kawasan-kawasan tertentu antaranya kawasan dalam kampung, tepi sungai, tepi jalan, padang Kemunting, Jalan Chai dan Air Putih. Setiap satu mempunyai seorang ketua dan penolong yang akan bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil ke kawasan-kawasan berkenaan.

Malah kemenangan JKKK Titi Teras telah menyemarakkan lagi semangat ahli JKKK untuk mengamalkan pendekatan COMBI iaitu secara besar-besaran (massive), secara berulang-ulang (repetitive), secara bersungguh-sungguh (intensive) dan secara berterusan (persistance) demi menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk dan agar Titi Teras bebas denggi.