GEORGE TOWN – Jalan Mount Erskine – Jalan Lembah Permai (Vale of Tempe) yang ditutup sementara waktu sejak 13 Oktober lalu dibuka kepada umum mulai 14 Januari 2017.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan pembukaan semula laluan tersebut, walau bagaimanapun tidak berpuas hati kerana kerja-kerja membaiki struktur jalan yang runtuh itu mengambil masa yang lama.
“Kerajaan Negeri tidak berpuas hati kerana ia (kerjakerja membaik pulih) mengambil masa yang panjang dan terlalu lama, iaitu hampir tiga bulan.
“Tak seharusnya sampai tiga bulan dan sebagai sebuah kerajaan yang mendengar keluhan rakyat, baru-baru ini (10 Januari lalu) saya telah mengadakan lawatan kerja.
“Pada lawatan tersebut, pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) bersama-sama kontraktor telah diberikan arahan untuk siap dalam tempoh seminggu.
“(Dan) hari ini, kita merasmikan pembukaan semula jalan ini, siap dalam tempoh masa empat hari iaitu tiga hari lebih awal daripada jadual,” katanya kepada pemberita dekat sini pada majlis pembukaan laluan berkaitan di sini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit.
Pengarah JKR Negeri, Ahmad Redza Ghulam serta wakil kontraktor turut serta dalam pembukaan semula laluan tersebut.
Guan Eng dalam pada itu meminta agar pihak JKR serta kontraktor berwajib yang terlibat dalam mana-mana projek membaik pulih supaya dapat memendekkan dan mematuhi tempoh siap kerja.
“Sebagai Kerajaan Negeri yang cakap serupa bikin, pastinya kita (Kerajaan Negeri) mahu kerja-kerja yang dilaksanakan secara teratur, terancang dan yang paling utama mengikut tempoh masa ditetapkan.
“Sekiranya di Fukuoka, Jepun, mereka dapat membaiki jalan yang berskala besar dalam waktu singkat, takkan kita hanya satu seksyen jalan sahaja mengambil masa tiga bulan?
“Pengarah JKR pun telah bersetuju, pada masa hadapan untuk memendekkan tempoh masa siap kerja,” ujarnya.
Dalam pada itu, Guan Eng turut mengarahkan supaya memastikan kenderaan berat seperti lori muatan pasir tidak melalui laluan tersebut mulai hari ini.
“Saya telah minta YB Lim (Hock Seng) untuk memastikan kenderaan berat tidak dibenarkan melalui jalan ini.
“(Dan) meminta supaya membina palang sekatan dan papan tanda di kedua-dua penghujung laluan tersebut,” jelasnya.
Difahamkan kos projek berkenaan adalah RM435,000.
Jalan Mount Erskine – Jalan Lembah Permai runtuh selepas hujan lebat tanpa henti pada 13 Oktober 2016.
Sejak itu, jalan yang hanya dibuka satu laluan itu hanya membenarkan kenderaan ringan melaluinya.