KM nasihat Pusat tangani masalah banjir di punca

SUNGAI PINANG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menasihatkan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan berwajib supaya Kerajaan Negeri mampu menangani masalah banjir kilat di punca secara holistik.

Katanya, RM2.5 juta untuk membiayai projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan menaik taraf sistem saliran S22 bagi mengatasi masalah banjir di Lorong Perak di sini adalah penyelesaian jangka pendek sahaja.

“Sekiranya masalah banjir kilat hendak diatasi secara holistik, ia mesti diatasi secara di punca (at source).

“Sekiranya tidak diatasi secara di punca, penyelesaiannya adalah dalam jangka masa pendek sahaja…sekiranya tidak, wang yang dibelanjakan akan dibazirkan seperti mencurah air di atas daun keladi sahaja.

“Itulah sebabnya, kita berharap Kerajaan Persekutuan habiskan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pinang kerana mereka (Kerajaan Pusat) telahpun mempunyai rancangan untuk mengatasi masalah banjir kilat di (Lembangan) Sungai Pinang secara di punca,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian pada Majlis Penyempurnaan Projek Kerja-kerja Tebatan Banjir dan Menaik Taraf Sistem Saliran S22 Bagi Mengatasi Masalah Banjir Di Lorong Perak di sini.

Exco Kerajaan Tempatan & Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Patahiyah Ismail turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal; Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan merangkap ADUN Batu Lancang); Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang) dan Jeff Ooi Chuan Aun (Ahli Parlimen Jelutong).

Guan Eng dalam pada itu menjelaskan bahawa Kerajaan Pusat pada November tahun lalu meluluskan RM150 juta sahaja untuk pelaksanaan projek RTB Sungai Pinang, sungguhpun kos asal dianggarkan berjumlah RM350 juta.

Walhal, menurut beliau, pentadbirannya ketika itu meluluskan peruntukan terbesar dalam sejarah penubuhan Kerajaan Negeri, sejumlah RM220 juta untuk menangani isu banjir kilat di Pulau Pinang.

Itu, tambah Guan Eng, tidak termasuk peruntukan Kerajaan Negeri bagi tahun 2017 kepada Jabatan Pengairan dan Alam Sekitar yang berjumlah RM150 juta untuk sembilan projek RTB.

Daripada angka RM150 juta itu, beliau menjelaskan RM12.6 juta untuk projek RTB Sungai Permatang Rawa; RTB Padang Lalang/Kampung Permatang Rawa (RM19.1 juta); RTB Bukit Tengah (RM19 juta); RTB Taman Mangga Jalan Juru (RM11.5 juta); RTB Alma (RM9.6 juta); RTB Mak Mandin (RM40 juta); RTB Sungai Relau (20.1 juta); RTB Taman Iping (RM13.6 juta) dan RTB Kampung Naran (RM4.5 juta).

“Kami percaya projek-projek RM220 juta dan projek Kerajaan Persekutuan RTB Sungai Pinang sebanyak RM350 juta selepas ia siap nanti akan memberi impak yang besar dalam usaha Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah banjir seluruh negeri,” ujar beliau.