JMG Malaysia, Ketua Menteri adakan pertemuan bincang kerjasama dua hala

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi bagi membincangkan bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak.

SHAHAR Effendi Abdullah Azizi (duduk) menandatangani buku pelawat di Pejabat Ketua Menteri pada kunjungan hormat lewat petang tadi.

Mengiringi delegasi tersebut, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia bagi Wilayah Utara (Kedah, Perlis dan Pulau Pinang), Azhari Ahmad; Timbalan Pengarah Lombong dan Kuari JMG Malaysia Wilayah Utara, Tony Chew dan Penolong Pengarah Kanan, Wan Salmi Wan Harun yang mewakili Timbalan Pengarah Geosains, JMG Malaysia Wilayah Utara.

 

Selain membincangkan bentuk kerjasama antara kedua-dua pihak, kunjungan tersebut juga bertujuan berkongsi hala tuju serta inisiatif yang dilakukan JMG Malaysia.

  1. SESI percambahan maklumat oleh Ketua Pengarah JMG Malaysia kepada Ketua Menteri.

Malah, Shahar Effendi turut menyatakan hasrat untuk mewujudkan sebuah pejabat di Pulau Pinang bagi memudahkan urusan antara kedua-dua pihak memandangkan kini pejabat JMG Malaysia bagi Wilayah Utara terletak di Alor Setar, Kedah.

Di samping itu, beberapa isu membabitkan projek-projek pembangunan terkini, kaji selidik serta kajian geologi, kerja-kerja ukur dan pemetaan kawasan, kuari, air tanah serta perancangan masa hadapan turut dibangkitkan dalam pertemuan selama 30 minit itu.

Di akhir pertemuan, Ketua Menteri menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan JMG Malaysia sekaligus dilihat mampu memberi manfaat untuk dinikmati oleh Pulau Pinang.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN