Joe Sidek harap GTF jadi kekuatan Malaysia ke Asia Tenggara

BUKAN mudah untuk menyertai acara antarabangsa di tanah air ini, seperti Festival George Town 2017 (GTF), secara percuma atau tiket semurah RM25 seorang.

Masuk tahun kelapan penganjuran festival itu pada 28 Julai hingga 3 September lalu, tentulah menyediakan pelbagai keunikan persembahan tempatan dan antarabangsa buat pengunjung tempatan serta pelancong asing.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Penang Global Tourism (PGT), George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), ThinkCity Sdn. Bhd. (ThinkCity), The Habitat Penang Hill, Gwangju City, Guangju Cultural Foundation antara pihak sokongan dan penaja di sebaik penganjuran GTF 2017 ini.

Ikuti wawancara bersama kurator terkenal GTF 2017, lain tak bukan JOE SIDEK oleh wartawan akhbar Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD.

BM: Sudah masuk tahun kelapan GTF, apakah kelainan dalam festival kali ini?

Joe Sidek: Saya memang cuba menjadikan Asia Tenggara lebih kukuh, kerana warga Asia Tenggara ada 640 juta orang, dan pasaran ini begitu kuat.

Kalau saya bertanya kepada kamu – apa yang telah kamu rasa mengenai nilai Asia Tenggara? Mungkin ya atau tidak dirasai, walaupun sebenarnya sangat saling berhubung-kait dalam banyak segi kerana kita adalah berjiranan.

Saya cuba mencari jalan untuk menghubungkan lagi kekuatan Asia Tenggara ini melalui persembahan bersama, pameran jalanan, saling bekerjasama dengan pelbagai pihak di luar negara dan di negeri ini seperti Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi-agensi berkaitan yang lain.

Saya ingat susah nak cakap apa yang menarik dan tak menarik dalam siri kelapan GTF 2017 (Festival George Town) kali ini.

Semua acara unik dan sama, kita tak ulang persembahan, dalam pelbagai konteks dan dimensi, yang mungkin belum pernah ditontoni oleh kebanyakan rakyat Malaysia di Pulau Pinang sendiri.

 

BM: Sejauhmana GTF ini memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, khususnya di Pulau Pinang?

Joe Sidek: Kalau ada anak, sama ada Melayu, Cina atau India, di mana lagi tempat selain muzium, untuk didedahkan pelbagai pengalaman kebudayaan dan persembahan tradisional sebegini (GTF 2017) di Pulau Pinang ini?

Kita perlu rasa bimbang jika era globalisasi pada hari ini menyebabkan anak-anak kita tidak mengenali kebudayaan tempatan.

Kalau ada kebudayaan Barat atau ketimuran yang sihat, sekurang-kurangnya anak-anak kita mempunyai peluang untuk memilih, bukan hanya disogok dengan persembahan popular Justin Bieber dan K-Pop semata-mata.

Sebab itu, bagi saya, kenapa tidak kita bawa anak kita keluar untuk melihat sendiri kelainan persembahan dan pameran tradisional di GTF 2017, untuk mereka menyaring pengetahuan yang lebih baik?

 

BM: Satu lagi isu, GTF dianggap tidak mengangkat kebudayaan Melayu, seperti kritikan sesetengah pihak kepada Saudara pada tahun lepas. Komen?

Joe Sidek: Jangan beritahu saya untuk mengetengahkan kebudayaan Melayu sahaja dan buang kebudayaan Cina dan India dan bangsa-bangsa di Malaysia yang lain? Rugi jika kita mencampak keluar boria atau Opera Cina kerana pada satu-satu masa, sepanjang GTF 2017 (mulai 27 Julai hingga 3 September), sepatutnya kita perlu memuatkan lebih banyak perkara, termasuk kebudayaan tempatan.

Dengan pendedahan keunikan Asia Tenggara dalam festival (GTF 2017) ini, bukan sahaja kita didedah supaya menerima persaingan yang lebih sihat, bahkan adalah batu loncatan untuk mengangkat kebudayaan terkaya, tentu sekali termasuk kebudayaan Melayu ke peringat Asia Tenggara dan antarabangsa.

Jangan jadi seperti katak bawah tempurung, lihatlah di luar sana supaya kita tahu apa sepatutnya kita lakukan untuk jadi lebih baik daripada pihak lain.

Saya pun Melayu, tentu tidak cair jati diri Melayu saya kerana tujuh persembahan antarabangsa sahaja berbanding 20 persembahan tempatan dalam GTF kali ini.

 

BM: Di sebalik penganjuran GTF ini, apakah harapan yang mungkin ingin saudara berkongsi dengan pembaca akhbar Buletin Mutiara?

Joe Sidek: GTF 2017 ini kita bersama-sama buat untuk angkat kebudayaan Malaysia ke Asia Tenggara, termasuk persembahan tradisional Melayu, sebab itu acara seperti Mek Mulung dan Silat Dulang umpamanya dimuatkan dalam senarai 20 persembahan pentas festival kali ini (siri kelapan).

Saya sendiri bukanlah sejarahwan atau ahli budaya, bagaimana saya boleh mengangkat kebudayaan tempatan, melainkan ada pejuang budaya dan seni Melayu sendiri perlu cadangkan yang lebih baik, bukan sesama Melayu kita sahaja, untuk diketengahkan diakui terbaik oleh mereka yang di luar kelompok kita (rakyat Malaysia).

Saya tidak pernah menolak seni kebudayaan baik daripada Melayu, Cina atau India, tetapi saya akan ambil dan angkat yang terbaik, setidak-tidaknya ke peringkat Asia Tenggara.

Banyak kali saya sebut, saya ambil tugas ini (kurator GTF) pun bukan sebab saya dilihat Melayu, tetapi sebab bakat dan saya terus berusaha membuktikan yang saya lebih baik berbanding yang lain dalam penganjuran festival sebegini.

Kenapa saya memuatkan juga persembahan antarabangsa untuk disaksikan oleh pengunjung tempatan? Supaya, kita tahu piawaian sebenar antarabangsa untuk kita lebih bekerja keras, pergi ke peringat Asia Tenggara dan antarabangsa.

Anak Malaysia seperti Yuna telah ada di peringkat antarabangsa kerana bakatnya, sebenarnya banyak lagi nama-nama besar yang lain.

Sebab itu, saya percaya bahawa Asia Tenggara ini adalah kekuatan untuk acaraacara tempatan melalui GTF sendiri pergi ke peringkat antarabangsa.

Joe Sidek harap GTF jadi kekuatan Malaysia ke Asia Tenggara PERSEMBAHAN sebahagian artis pada malam pelancaran GTF 2017.