Pertandingan wau tambah keunikan Jawi

JAWI – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Komuniti Muda (PEKA) buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Wau Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini 30 Julai lepas.

Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Heng Yeh Shiuan berharap acara tradisi sebegitu akan menjadi satu lagi identiti keunikan setempat khususnya Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi.

“Selain Balik Pulau, baka ‘Ochee’ atau durian duri hitam kini sudah boleh didapati di Jawi.

“Di sini juga sampai ada Tugu Kelip- Kelip sebagai mercu tanda Jawi, kerana ada habitat kelip-kelip boleh dinikmati di laluan Sungai Kerian.

“Tidak mustahil pertandingan wau ini akan menjadi satu lagi identiti unik bagi daerah ini, khususnya di Jawi,” jelasnya dalam majlis perasmian acara tersebut di Padang Jawi di sini.

Mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee, Yeh Shiaun berharap Kerajaan Negeri menganjurkan lebih banyak lagi acara unik di KADUN berkenaan.

Sebelum itu, Penyelaras PEKA, Muhammad Nasir Abu Bakar memberitahu, penganjuran tersebut menerima penyertaan 40 peserta.

“Program ini adalah bertujuan untuk mengangkat kembali permainan tradisional tempatan, iaitu wau yang semakin dilupakan oleh generasi hari ini.

“Kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada para peserta, PEKA bercadang untuk menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan,” jelasnya.

Johan acara menerima hadiah sebanyak RM500, manakala naib johan (RM300) dan ketiga (RM200).