Jom sertai eBizStart 2021

GEORGE TOWN – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain mahu usahawan di negeri ini merebut peluang menyertai eBizStart 2021 yang menawarkan peluang perniagaan merentasi sempadan melalui platform elektronik tunggal.

 

Katanya, acara maya eBizStart 2021 itu bakal berlangsung dari 15 Jun 2021 hingga 28 Jun 2021, 24 jam setiap hari selama dua minggu.

 

“Para usahawan di Pulau Pinang perlu kejar peluang ini dalam mempromosikan perniagaan mereka merentasi 12 negara, kita tidak boleh tunggu (pandemik COVID-19) lebih lama lagi, kita perlu terus bergerak kerana tidak tahu bila ia akan berakhir.

 

“Tahun lepas kita ada International Inspirasi Khadijah Virtual 2020, saya yakin banyak lagi program seperti ini akan ada, usahawan pun sudah mula terbiasa kaedah maya ini.

 

“Namun ada juga yang masih perlu diberi tunjuk ajar, agar selari dengan kehendak permodenan kaedah maya maka mereka perlu adaptasi dengan lebih cepat,” ujar Abdul Halim ketika berucap pada sidang media eBizStart 2021 di Komtar hari ini.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama E3Hubs Sdn. Bhd., Calvin Quah bersama-sama Ketua Strategiknya yang juga Pengasas Bersama, Andrew Wong.

 

Dalam pada itu, Andrew Wong memaklumkan bahawa misi acara keusahawanan maya terbesar ini adalah untuk menyatukan 20,000 peserta terdiri daripada kumpulan usahawan, syarikat permulaan, pemilik perniagaan, pengusaha kecil sederhana (PKS), agensi kerajaan dan ahli akademik.

 

 

“Anjuran program ini disasarkan merentasi 12 negara dan menampilkan 500 syarikat pameran terkemuka, tiga persidangan / bengkel berskala besar termasuk Sidang Kemuncak Wanita yang melahirkan 150 penceramah serta 100 jurulatih.

 

 

“Selain itu eBizStart 2021 turut merangkumi dua sesi pembentangan idea perniagaan, berskala besar menyatukan 150 usahawan di seluruh rantau, sesi pemadanan teknologi serta sesi pemadanan perniagaan yang membabitkan 5,000 perniagaan,” katanya.

 

 

Pendaftaran adalah percuma melalui laman sesawang www.bizstart.com.my.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL