Kerajaan Negeri lulus RM3.49 juta, bangun semula Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah dengan elemen GBI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.49 juta bagi membangunkan semula Kompleks Mutiara Selera Tanjong Bungah dengan berelemenkan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Perkara tersebut diumumkan Exco Infrastruktur dan Lalulintas, Zairil Khir Johari pada sidang media di sini hari ini.

Zairil berkata, pembangunan semula astaka tersebut bukan sahaja bakal menjadi astaka pertama di Pulau Pinang bertaraf GBI, tetapi reka bentuknya lebih kondusif dan mesra orang kurang upaya (OKU).

“Ia lebih mesra OKU dan orang tua berbanding astaka dahulu yang tinggi, bertingkat dan tertutup.

“Astaka ini bakal mempunyai 40 gerai dengan keluasan 120sqft berbanding 33 gerai (penggerai sedia ada) dan boleh menempatkan sehingga 260 pengunjung pada satu masa.

“Maka, bolehlah gerai-gerai kecil yang berada di tepi jalan mohon masuk ke sini supaya tidak menghalang laluan trafik,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

Kompleks Mutiara Selera ini akan dilengkapi dengan ciri-ciri lebih terkini dan praktikal seperti bumbung penuaian air hujan, pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, surau serta pejabat.

Hadir sama Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Hooi Peng dan wakil CMI.

Sebagai rekod, Kompleks Mutiara Selera Tanjung Bungah telah hangus dalam kebakaran November tahun lalu.

Difahamkan bahawa, astaka berkenaan dibina di atas tanah milik Kerajaan Negeri dan ia diselia sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) peringkat Persekutuan sebelum dipindah milik kepada Kerajaan Negeri pada tahun 2020 iaitu sebelum berlakunya kebakaran.

Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahawa pembangunan semula astaka berkenaan kini di peringkat proses penyediaan tender oleh Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang.

Jelasnya, pelawaan tender terbuka akan dilaksanakan melalui sistem e-perolehan dan dijangka diiklankan pada bulan Mei depan selama tiga minggu.

“Untuk tujuan itu, pihak Kerajaan Negeri juga telah melantik CMI sebagai agensi pelaksana ke atas astaka berkenaan apabila siap kelak.

“Kerja-kerja pembangunan semula dijangka bermula pada bulan Julai 2021 dan mengambil masa lebih kurang enam bulan untuk disiapkan.

“Diharap hujung tahun ini, astaka ini siap dan dapat beroperasi sepenuhnya tahun hadapan,” tambahnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD