Jom sertai The Colourful Run 3.0 sambil beramal kepada PDA

GEORGE TOWN – Sebagai tanda sokongan kepada acara Fun Run 5 Kilometer The Colourful Run 3.0 anjuran Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang (PDA), Kerajaan Negeri meneruskan pemberian sumbangan sebanyak RM10,000.

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, sumbangan tersebut merupakan kali ketiga Kerajaan Negeri kepada PDA sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 2016.

Kita sebenarnya perlu bagi peluang yang adil dan saksama kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk bergaul, berlari dan bersukan seperti insan biasa… kita (masyarakat) tidak boleh pinggirkan mereka sama sekali kerana mereka juga ingin merasakan keseronokan seperti manusia normal yang lain.

Justeru, golongan muda terutamanya pada hari ini perlulah santuni golongan ini dan beri keutamaan kepada OKU… dengan menyertai The Colorful Run 3.0 ianya juga satu platform terbaik dalam memberi sumbangan dan sokongan kepada PDA dalam menguruskan golongan-golongan tersebut,” ujar beliau dalam sidang media The Colorful Run 3.0 di Komtar hari ini.

Hadir sama, Presiden PDA, Razman Tan dan wakil dari 1st Avenue selaku penaja lokasi.

Menurut Razman, sehingga kini pihaknya sudah menerima 700 penyertaan dan mensasarkan sebanyak 1,500 peserta berbanding 1,000 orang pada tahun lepas.

Bagi individu yang berminat, boleh layari pendaftaran dalam talian di https://event.howei.com/ atau mendaftar secara manual di pusat beli belah 1st Avenue.

Difahamkan pendaftaran bagi pelajar sekolah dan golongan OKU adalah RM30 dan hanya boleh dilakukan secara manual.

Sebarang pertanyaan, boleh terus diajukan kepada PDA di talian 04-2260160.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKILI

Gambar: LAW SUUN TING