Sambutan Hari Farmasi Sedunia beri peluang masyarakat kenali ahli farmasi dengan lebih dekat

Admin

SEBERANG JAYA – Sambutan Hari Farmasi Sedunia tahun ini yang mengangkat tema “Pharmacists: Your Medicines Experts” memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali ahli farmasi dengan lebih dekat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Farmasi Sedunia (World Pharmacists Day 2018) pada 11 Ogos lalu bertempat dekat Sunway Karnival Mall, di sini.

“Skop farmasi sebenarnya sangat luas bukan sekadar memberikan ubat-ubatan tetapi juga memainkan peranan yang penting kepada para pengguna.

“Peranan ahli farmasi juga kini semakin berkembang dan kini mereka bertugas di pelbagai sektor seperti sektor kesihatan awam di klinik-klinik atau hospital, di sektor penguatkuasaan dan sektor komuniti yang mana kita lihat ahli farmasi sebagai suatu kerjaya yang mendapat permintaan yang tinggi,” katanya pada majlis berkaitan.

Kanak-kanak mengambil bahagian dalam pertandingan yang dianjurkan sempena Sambutan hari Farmasi Sedunia baru-baru ini.

Turut berucap sebelum itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Wan Mansor Wan Hamzah dan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Dasar & Perancangan Strategik Farmasi Malaysia, Dr. Hasenah Ali;; Presiden Persatuan Farmasi Komuniti Malaysia, Lovy Beh Yen Shan; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Farmasi Pulau Pinang, Zubaidah Che’Embee dan ramai lagi.

Difahamkan, program berkenaan yang berlangsung selama dua hari iaitu pada 11 dan 12 Ogos dari jam 9.00 pagi hingga 10 malam turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya, pertandingan mewarna dan bercerita kanak-kanak, zumba dan karate, kuiz, saringan kesihatan, forum remaja dan banyak lagi.

Mengulas lanjut, Kumaresan berkata, tugasan ahli farmasi kini menjadi semakin penting kerana masyarakat kini gemar membeli produk sama ada produk kecantikan dan kesihatan yang menjadi tular di media sosial seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan sebagainya yang tidak diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bersesuai dengan tema yang dipilih, ahli farmasi juga akan membantu pengguna untuk mengenali ubat yang boleh dan tidak boleh diambil oleh golongan tertentu seperti mereka yang mempunyai penyakit kronik dan penyakit minor yang memerlukan pengambilan ubat-ubatan.

“Ianya penting kerana penggunaan ubat-ubatan yang salah boleh mengakibatkan kemudaratan seperti yang dilapor di dada-dada akhbar.

“Oleh itu, sebagai pengguna yang bijak kita juga perlulah mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi dan pihak-pihak yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini supaya kita tidak mengambil ubat-ubatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOF
Gambar : ENG KOK WEI