Jom terokai keunikan Sungai Kelian, 3, 10 dan 17 November ini

GEORGE TOWN – Warga Pulau Pinang dialu-alukan menyertai program Jom Kenali Sungai Kelian yang bakal berlangsung pada 3, 10 dan 17 November ini.

 

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dr. Chee Heng Leng berkata penganjuran program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan sungai yang menjadi sumber air utama bagi kehidupan manusia.

 

“Pada 3 November (Ahad), kita akan adakan majlis perasmian program dekat Tingkat Atas Pasar dan Kompleks Makan Tanjung Bunga dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

 

“Program pada 10 November (Ahad) pula diisi dengan acara Kunjungi Muara Sungai yang bakal diadakan di Pondok Nelayan Tanjung Bungah mula dari Kawasan pantai awam Jalan Wee Hein Tze mulai jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.

 

“Terakhir adalah pada 17 November (Ahad) yang mana kita akan adakan acara Kunjungi Tepi Sungai bertempat di Tanah lapang Lintang Lembah Permai 2 mulai jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari,” jelasnya pada sidang media, di sini sebentar tadi.

 

Turut serta, Pegawai Jabatan Khidmat Masyarakat MBPP, Amir Ali dan pengasas bersama Penang Hills Watch, Kam suan Pheng.

 

Mengulas lanjut, Heng Leng menjelaskan bahawa pelbagai acara menarik akan diadakan pada hari program berlangsung seperti pameran, bengkel lukisan kreatif untuk kanak-kanak, gotong-royong membersihkan pantai, tayangan dokumentari “Sungai Kelian”, berjalan ke hulu sungai dan permainan tradisional.

 

“Pihak kami juga akan menyediakan stesen air minuman, justeru, orang awam dinasihati membawa botol air sendiri bagi mengelakkan penggunaan botol atau  cawan air plastik sekali guna,” ujarnya lagi.

 

Difahamkan, program bertemakan ‘Dari Hulu Ke Hilir, Nadi Kita Mengalir’ berkenaan dianjurkan oleh MBPP bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum, Penang Hills Watch, Ruang Kongsi, Tanjong Bunga Tanjong Bunga Residents Association dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

 

Penyertaan adalah secara percuma dan terbuka kepada semula lapisan masyarakat.

 

Bagi yang berminat boleh menghantarkan butiran lanjut seperti sesi penyertaan, nama peserta, umur dan nombor telefon melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 012-410 2884.

 

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 017-202 1901 atau layari laman sesawang www.fb.com/RAPPenang.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI