Operasi bersepadu mulai 1 November, MBPP berkuasa arah tutup premis makanan

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Bahagian Pelesenan berkuasa mengeluarkan arahan penutupan premis makanan mulai 1 November ini.

Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng pada sidang media sebentar tadi berkata, penguatkuasaan tersebut adalah selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus premis makanan di bahagian pulau mencapai Gred A.

Jelasnya, MBPP kini melalui Bahagian Pelesenan dengan kekuatan sembilan pegawai yang mempunyai latar belakang kesihatan awam akan menjalankan operasi bersepadu secara lebih kerap dan berasingan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) atau Daerah lagi.

“Polisi ini dibuat ekoran kita (MBPP) banyak menerima aduan daripada orang awam yang meminta Majlis menutup premis kotor.

“Majlis bukanlah ingin menyusahkan operator ataupun pengusaha makanan, sebaliknya kita (MBPP) mengharapkan kerjasama semua terutamanya pengendali premis (makanan) untuk meningkatkan kebersihan premis mereka sekaligus memberikan keyakinan kepada pengunjung,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama Ahli Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Pelesenan merangkap Ahli-ahli Majlis MBPP serta Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan MBPP, Dr. R. Judy Shoba.

Mengulas lanjut, Yuee Harng menjelaskan bahawa terdapat tiga keadaan yang membolehkan arahan penutupan premis dikeluarkan iaitu markah penggredan kurang 51 peratus, terdapat kesan hurungan tikus, lipas, lalat atau apa-apa serangga pembawa penyakit dan premis dikendalikan oleh pengendali makanan yang telah dijangkiti atau seorang pembawa kuman kepada penyakit berjangkit bawaan makanan dan air.

“Jika salah satu daripada kesalahan ini ditemui, maka perintah penutupan establisymen makanan selama 14 hari akan dikeluarkan, di mana notis akan dilekatkan dihadapan kedai supaya mudah dilihat.

“Perintah penutupan ini minimumnya adalah tiga hari sekiranya pemilik premis telah mengikut segala perintah dan 14 hari (maksimum) atau boleh dipanjangkan lagi tempoh mengikut keadaan kebersihan premis.

“Majlis juga berhak membatalkan lesen perniagaan dan membuat rampasan sekiranya pemilik gagal mematuhi semua arahan dan syarat yang dikeluarkan,” jelas beliau.