JPWK KADUN Padang Kota sumbang kuih raya kepada barisan utama HPP

Admin

DATUK KERAMAT – Menjelang Aidilfitri yang berkunjung tiba, Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota pada petang ini menyerahkan sejumlah balang kuih raya dan bekalan sanitasi tangan kepada barisan utama Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Pengerusinya, Yeoh Phaik Suan memberitahu bahawa semua kuih raya tersebut adalah istimewa kerana dibekalkan sendiri melalui program inisiatif kelompok melibatkan wanita serta ibu tunggal terpilih di negeri ini, demi menjana pendapatan tambahan kepada golongan berkenaan.

“Selain sumbangan kepada barisan utama di sini (HPP) dan program bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kelak, inisiatif pembuatan kuih raya ini turut membantu dalam menjana pendapatan kepada ibu-ibu tunggal serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) setempat,” jelasnya pada majlis sumbangan yang berlangsung di lobi HPP pada 21 Mei 2020.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng dan Yeoh Phaik Suan yang menyempurnakan acara penyerahan sumbangan kuih raya tersebut kepada Pengarah HPP, Dr. Teo Gim Sian.

“Projek kuih raya merupakan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri melalui JPWK.

“Melalui projek ini, seramai 49 wanita terlibat membuat kuih raya di rumah dan telah berjaya menjana pendapatan mereka sebanyak RM62,540.

“Selain tanda penghargaan kepada barisan utama yang melawan COVID-19, dengan purata pendapatan tiap-tiap seorang adalah kira-kira RM1,300 ini, dapatlah ia menampung perbelanjaan harian keluarga masing-masing menjelang Aidilfitri,” ujar Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : ALVIE CHENG