Jualan Agro MADANI bantu kekang kenaikan harga makanan, tawar penjimatan sehingga 30 peratus

Admin
img 20260604 wa0021

KOMTAR – Program Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan kerajaan terus memainkan peranan penting dalam membantu rakyat menghadapi kenaikan harga barangan makanan dengan menawarkan produk pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Abdul Rashid Bahri berkata, kerajaan menjangkakan berlakunya sedikit kenaikan harga barangan makanan bermula Jun ini seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Namun jelas beliau, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan beban pengguna dapat dikurangkan, termasuk melalui Program Jualan Agro MADANI yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Program Jualan Rahmah MADANI.

“Kita tidak boleh mengatakan harga tidak akan naik, tetapi kerajaan berusaha memastikan kenaikan tersebut masih dalam kemampuan pengguna.

“Setakat ini, usaha yang dilakukan berjaya mengekang kenaikan harga yang melampau dan keadaan masih dalam kawalan walaupun terdapat sedikit peningkatan harga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian cawangan baharu Kopiesatu di Trend Mart & Cafe, Komtar di sini sebentar tadi.

Perasmian disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid memaklumkan bahawa sebanyak 5,000 penganjuran Jualan Agro MADANI telah direkodkan dalam tempoh setahun lalu melibatkan FAMA serta agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Menurut beliau, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sahaja, hampir 1,000 siri jualan telah berjaya dilaksanakan dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai.

“Konsep yang kita kekalkan adalah penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

“Walaupun harga pasaran meningkat, kita masih mampu menawarkan diskaun pada kadar tersebut kepada pengguna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata FAMA sentiasa memantau isu bekalan makanan dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan bekalan di mana-mana kawasan.

“Setakat ini kita tidak menerima laporan serius berkaitan kekurangan bekalan makanan.

“Namun jika terdapat kawasan yang berdepan masalah bekalan, FAMA akan turun padang untuk memastikan bekalan mencukupi dan mudah diakses oleh pengguna.

“Secara umumnya, saya tidak mendengar sebarang isu besar berkaitan kekurangan bekalan makanan seperti telur ayam dan sebagainya ketika ini,” katanya lagi.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT