KOMTAR – Cawangan baharu Kopiesatu di Trend Mart & Cafe dilihat mampu menjadi platform strategik dalam memperluaskan pemasaran produk usahawan tempatan, khususnya dalam sektor agromakanan.
Ketika merasmikan cawangan baharu kafe tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif yang dilancarkan di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Keusahawanan itu adalah bertujuan menyediakan ruang pemasaran yang lebih luas dan berkesan kepada usahawan tempatan.
“Trend Mart & Cafe diwujudkan sebagai satu inisiatif untuk menyediakan platform pemasaran lebih luas kepada usahawan tempatan, khususnya bagi produk-produk agro makanan yang kini dipusatkan di sebuah kafe dalam suasana santai dan mesra pelanggan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan cawangan baharu Kopiesatu di Trend Mart & Cafe dekat Aras 3, Komtar di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Rashidi Zinol; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Zulkifli Long; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Zairi Mat Ali.





Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa konsep yang menggabungkan kedai serbaneka dan kafe itu merupakan pendekatan julung kali diperkenalkan di Komtar bagi memberi nilai tambah kepada pengalaman pelanggan serta memperkukuhkan ekosistem keusahawanan tempatan.
“Selain menawarkan produk di bawah jenama tempatan, premis ini turut menampilkan produk berasaskan bijirin kopi serta pelbagai produk lain keluaran usahawan kecil tempatan.
“Inisiatif ini sekali gus menjadi platform pemasaran yang membolehkan usahawan memperkenalkan jenama masing-masing kepada lebih ramai pengguna dan seterusnya meningkatkan jualan produk mereka,” ujarnya.
Pada masa sama, Kon Yeow berharap inisiatif sedemikian dapat terus diperkasakan bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan, selain menyokong pertumbuhan ekonomi negeri melalui pembangunan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Pembukaan cawangan baharu ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan serta memperluaskan akses pasaran kepada produk-produk tempatan yang berpotensi tinggi,” jelasnya.
Terdahulu, Kon Yeow mengagihkan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan sebagai menyokong Kempen Makan Buah-buahan Tempatan yang digerakkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan FAMA.
Sementara itu, Rashidi merakamkan penghargaan kepada FAMA atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan pembukaan cawangan ini.
“Pada peringkat awal, tumpuan diberikan kepada usahawan yang sebelum ini menyertai program Marketplace di Komtar yang mana sambutan dan permintaan terhadap produk-produk dipasarkan adalah amat menggalakkan.
“Justeru, Trend Mart & Cafe diwujudkan sebagai sebuah lokasi tetap bagi memudahkan orang ramai mendapatkan produk usahawan tempatan pada hari-hari biasa ketika program Marketplace tidak berlangsung,” katanya.
Mengulas lanjut, Rashidi menyatakan bahawa menerusi kerjasama bersama FAMA, Kopiesatu dijadikan tarikan utama premis berkenaan dengan menampilkan pelbagai produk berasaskan kopi dan keluaran usahawan tempatan.
Pada masa sama, premis tersebut turut menawarkan menu sarapan pagi yang disediakan oleh vendor tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada pengusaha makanan dan minuman di negeri ini.
“Sambutan yang diterima pada hari ini amat menggalakkan dan kita juga melihat penyertaan ramai vendor tempatan yang terlibat dalam program ini.
“Saya berharap inisiatif ini menjadi permulaan kepada lebih banyak usaha seumpamanya yang boleh diperluaskan ke lokasi-lokasi bersesuaian di seluruh Pulau Pinang,” ulasnya lanjut.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus membantu usahawan tempatan meningkatkan kapasiti perniagaan, memperkukuhkan jenama tempatan dan meneroka pasaran baharu.
“Bersama dengan Kerajaan Negeri, kita akan terus membantu usahawan-usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Kita mahu membawa jenama tempatan ke tahap yang lebih tinggi dan akhirnya membuka peluang pasaran baharu.
“Inilah usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan saya berharap ia terus mendapat kerjasama daripada jabatan-jabatan berkaitan serta sokongan rakyat Pulau Pinang,” ulasnya lanjut.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : LAW SUUN TING