Jualan daging segar tidak semeriah sebelum tahun 2019, kata peniaga Chowrasta

Admin
OSMAN Sindhah merupakan generasi ketiga yang mewarisi perniagaan daging lembu segar di Chowrasta, berniaga lebih 30 tahun di kompleks pasar ikonik tersebut.

TINGGAL beberapa hari lagi seluruh umat Islam di negara ini akan menjalani ibadah berpuasa.

Wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD mengambil kesempatan membuat tinjauan lapangan mengenai persiapan umat Islam menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak di sekitar Pasar Chowrasta dekat tengah-tengah Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town pada 20 Mac 2023.

BAHAGIAN sisi kompleks penjaja Chowrasta yang merupakan bangunan ikonik seperti Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Dibina pada tahun 1961, Pasar Chowrasta merupakan antara bangunan ikonik yang suatu masa dahulu dikatakan bertambah meriah dengan kehadiran pengunjung terutama umat Islam menjelang Ramadan.

OSMAN Sindhah

Bercerita lanjut, OSMAN SINDHAH, 63, berkata, sejak berusia 12 tahun beliau sudah membantu datuknya berniaga daging lembu import dan daging lembu segar.

Lebih 30 tahun berniaga di sini, beliau memberitahu hasil jualan kasar akan berganda apabila menjelang Ramadan kerana rata-rata pengunjung akan menambah bekalan daging segar untuk tujuan bersahur dan membuka puasa di rumah.

Tidak kurang juga pengusaha restoran dan kedai makan, menurut beliau lagi, mereka juga akan menambah bekalan ‘barang basah’ untuk memenuhi jangkaan permintaan pelanggan sepanjang bulan penuh keberkatan ini.

Namun, beliau berkata kali terakhir suasana meriah sebegitu boleh dirasai di Pasar Chowrasta adalah menjelang Ramadan tahun 2019.

“Sebelum tahun 2019, saya boleh menjual lebih 300 kilogram (kg) daging segar dan daging import kerana rata-rata orang Islam memang mahu mengubah sedikit selera makan mereka sepanjang Ramadan.

“Seingat saya, dalam sehari, dua hari atau tiga hari sebelum masuk bulan Ramadan, saya boleh jual lebih 300 kilogram.

“Tetapi sejak pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, suasana menjelang Ramadan di pasar basah (Pasar Chowrasta) ini tidak seperti dahulu.

“Sejak dua tahun lepas (sejak 2020), nak jual 150 kg daging segar dan daging import sehari pun payah, (walhal) harga daging dalam dua tahun ini tidak meningkat pun,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu 1kg daging segar dijual pada harga RM40, manakala daging sejuk beku import gred A dijual pada harga RM24 dan RM22 (daging biasa).

“Kalau dahulu, hampir 30 gerai jual daging segar dan daging import dibuka sebab semua meniaga tahu mereka boleh menjual lebih ‘banyak’ menjelang Ramadan.

“Tetapi, pada pagi ini semua kita boleh lihat, hanya tiga gerai jual daging lembu segar dan daging lembu import dibuka; gerai jual daging segar kambing pun tak buka sebab mereka mungkin tahu keadaan sambutan di pasar basah ini dalam beberapa tahun ini,” katanya lagi.

Salah seorang pengunjung pasar basah Chowrasta di sini memberitahu bahawa kuasa membeli pengguna selepas pandemik COVID-19 adalah tidak seperti sebelum tahun 2019.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pendapat (sektor isi rumah rakyat) tidak semewah dahulu, mereka membeli barang-barang basah mengikut kemampuan mereka pada hari ini.

“Macam saya, saya tetap datang membeli daging kerana nak sambut Ramadan, tetapi beli dalam kuantiti yang tidak ‘banyak’ seperti dahulu,” ujarnya yang mahu dikenali sebagai ‘Cikgu Hafiz’.

Baru bersara sebagai guru, beliau berkata bahawa beliau percaya kuasa membeli rakyat dijangka kian meningkat di Pasar Chowrasta di sini apabila masuk ‘fasa ketiga’ Ramadan dan musim perayaan kelak.

MAIDIN Sahul Hamid, pengusaha Kedai Jeruk Aishah bersebelahan kompleks CHOWRASTA di sini.

Seorang lagi responden, MAIDIN SAHUL HAMID, 65, pula memberitahu bahawa beliau membuka perniagaan Kedai Jeruk Aishah sejak 15 tahun lepas.

Selama tempoh itu, beliau berkata sebulan sebelum menyambut Ramadan memang ada sedikit peningkatan hasil jualan kerana di sini turut menjadi destinasi persinggahan pelancong tempatan dan pengembara antarabangsa.

“Kalau nak lihat ramai pengunjung dalam bulan Ramadan, mungkin pada minggu akhir berpuasa nanti, kerana semasa itu pelanggan akan membeli jeruk untuk juadah semasa menyambut hari lebaran.

“Sebelum bulan Ramadan tiba, pelancong memang akan ramai di sini sebab boleh membeli makanan buat buah tangan dan makan pada sebelah siang hari.

“Tetapi sejak COVID-19, sambutan pelanggan yang singgah di Kedai Jeruk Siti Aishah tidak semeriah sebelum tahun 2020,” jelasnya sambil memberitahu hasil jualannya tidak menentu sejak PKP pada tahun 2020.

Di samping itu, beliau berkata bahawa beliau langsung tidak menambahkan bekalan barang-barang di Kedai Jeruk Aishah sempena Ramadan kerana bimbang mengalami lambakan stok seperti dua tahun sebelum ini.

“Sebelum PKP, berniaga memang berbaloi. Sekarang, nak jual 20 kg jeruk pun susah dalam sehari.

“Walaupun sambutan pengunjung di Pasar Chowrasta tidak semeriah dahulu, macam mana pun mesti meneruskan perniagaan dalam bulan Ramadan ini.

“Tahun ini (2023), saya kurangkan 70 peratus bekalan sebab ia lebih pada pelancongan asing sahaja untuk bulan Ramadan dan musim perayaan.

“Tumpuan perniagaan hanya di sini (Kedai Jeruk Aishah) di sini, langsung tak sertai mana-mana bazar Ramadan sebab upah pekerja jauh lebih tinggi berbanding risiko pulangan hasil jualan kasar yang sedikit,” katanya lagi sambil berharap hasil jualan kasar dalam bulan Ramadan dan musim perayaan nanti lebih baik berbanding dua tahun sebelum ini.