PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM3.286 juta bagi menyalurkan Bantuan Sara Hidup kepada setiap petani sektor tanaman padi dan tanaman sayuran yang layak di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, inisiatif yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri itu bakal memanfaatkan seramai 6,572 petani, melibatkan 5,567 pesawah padi dan petani tanaman sayuran (1,005).
Menurut beliau, bantuan RM500 secara one-off tersebut akan disalurkan kepada petani yang layak dalam masa terdekat.
“Inisiatif ini merupakan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan besar golongan petani dalam memastikan bekalan makanan negeri kekal mencukupi, sekali gus memperkukuh agenda keterjaminan makanan Pulau Pinang.
“Sehingga tahun 2026, Pulau Pinang mempunyai 11,858 hektar kawasan tanaman padi aktif yang diusahakan oleh 5,567 pesawah, dengan purata pengeluaran 4.69 tan metrik sehektar.
“Bagi sektor tanaman sayuran pula, seramai 1,005 petani telah menghasilkan 10,648 tan metrik sayuran sepanjang tahun 2025, sekali gus membuktikan peranan penting komuniti petani dalam menyokong keselamatan bekalan makanan negeri,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke rice@MARDI Seberang Perai di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohamed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) MARDI, Dr. Asfaliza Ramli dan Pengarah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pulau Pinang, Dr. Nurulnahar Esa.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sektor agromakanan melalui pelbagai inisiatif strategik, termasuk memperluaskan penggunaan teknologi serta amalan pertanian moden bagi meningkatkan produktiviti.
Pada masa sama, beliau menyatakan bahawa kerjasama strategik dengan Jabatan Pertanian, MARDI serta agensi-agensi berkaitan akan terus diperkasakan bagi memastikan sektor agromakanan negeri kekal berdaya saing, mampan dan mampu menjamin bekalan makanan untuk rakyat.
“Justeru, saya juga berharap agar Exco berkaitan yang telah diberikan amanah ini akan sentiasa peka terhadap keperluan dan cabaran semasa dalam sektor pertanian bagi mencapai prestasi terbaik demi kepentingan rakyat dan negeri,” ujarnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT