Judo ajar jangan putus asa – Kah Ming

BELIAU merupakan salah seorang atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Kali Ke – 16 di Kuala Lumpur yang menyumbang emas kepada Pulau Pinang.

Kontinjen Atlet Negeri keseluruhannya membawa pulang lapan pingat emas, 19 perak dan 21 gangsa.

Pingat emas yang dimenangi itu dalam kategori Judo Kata Wanita berpasangan dengan seorang lagi atlet, Koo Kah Chien.

Koo Kah Ming, 19, semasa diwawancara oleh wartawan Buletin Mutiara (BM), ZAINULFAQAR YAACOB baru-baru ini berkongsi sedikit banyaknya pengalaman serta kejayaannya memburu kejayaan itu.

Kah Ming berkata, beliau bertuah kerana minatnya dalam seni Budoatau lebih tepat disebut Judo mendapat sokongan langsung daripada keluarga dan dua saudara kandungnya.

Abangnya merupakan pelatih judo dan beliau mula mendekati sukan itu pun hasil pelawaan abangnya.

Kah Ming merupakan anak tempatan Pulau Pinang dan kini bermastautin bersama keluarga di Air Itam.

Percaya atau tidak, Kah Ming mula menyertai Judo selepas peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM).

Semasa di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) S t . George’s dekat George Town, beliau tidak menyertai Judo.

Ertinya, beliau menyertai seni mempertahan diri itu sejak tahun lepas, sebelum dimahsyurkan sebagai juara kategori Judo Kata Wanita.

Sungguh pun sudah bergelar mahasiswa di INTI International College Penang (IICP) dekat Bayan Lepas, minatnya terhadap seni mempertahan diri Judo itu tidak pernah pudar.

“ S e l a l u n y a l a t i h a n bermula jam lima, tetapi, sekiranya ada kelas pada jam enam (petang), saya akan datang selepas kelas,” ujar beliau.

Keistimewaan Judo  se p e r t i s e n i mempertahan diri lain, Kah Ming berkata, Judo juga mengajar pelatihnya erti kehidupan dan pri penting gaya hidup sihat.

“ Dari sukan ini, saya belajar erti dan aplikasi hidup seperti jangan berputus asa.

“Dalam Judo, kita kita kena berdiri untuk membaling rakan (seperguruan) kita.

Ada kalanya (dalam latihan), kita juga akan dibaling sampai jatuh.

“Sama lah dengan hidup, ada kalangan kita akan jatuh (menimpa kesusahan).  Yang paling penting adalah, jangan putus asa untuk hidup dan bangun semula dengan harapan yang baru,” ujar beliau.

Katanya, rakan-rakan seperguruan bagaikan adik beradik kerana Judo mengajar erti kemanusiaan.

“Sukan ini boleh kata macam hobi saya juga lah. Selain bersenam untuk sihat badan, dalam sukan kita, kita dan rakan-rakan (seperguruan) macam keluarga juga lah.”

“Hubungan antara kawan-kawan sangat rapat,” ujarnya.

Latihan Kah Ming berkata, beliau berlatih di Pusat Budo dekat George Town tiap-tiap hari, kecuali Ahad dan Isnin.

Dalam seminggu, katanya lagi, beliau berlatih minimum 12 jam.

Baginya, fokus dan disiplin adalah antara kriteria penting mereka yang mahu serius dalam sukan Judo.

“Latihan perlu disiplin serta komitmen yang tinggi. Bukan senang dan perlu fokus,” ujar beliau.

Pengalaman

 Beliau berkata, sepanjang dalam gelanggang latihan, beliau pernah tercedera sekali. Itulah pengalaman peribadi.

“Saya pernah cedera di pergelangan kaki dan mengambil masa beberapa bulan untuk sembuh.

“Keluarga tidak kata apa-apa kerana kecederaan itu (adalah) kemalangan semata-mata. Tiada sesiapa pun mahu kemalangan yang tidak diingini.

Ditanya mengenai kejuaraan dalam S U K M A , beliau berkata, beliau sendiri tidak menyangka bahawa potensi latih tubi dalam gelanggang latihan membantu beliau di gelanggang sukan itu.

“Kali pertama masuk pertandingan ini. Perasaan saya bercampur-campur, ada rasa gemuruh, ada rasa tidak tahu, ada rasa mahu mencuba.

“Selepas beberapa kali digelanggang, saya berasa ini seperti latihan juga,” ujar beliau sambil ketawa.

Harapan

Selepas bergelar juara berpasangan bagi Judo Kata Wanita, beliau berkata, secara peribadi mengaku bahawa beliau masih belum ada apa-apa rancangan lanjutan.

“Tiada apa-apa persiapan khususnya. Mula-mula saya masuk pun, tanpa persiapan mental dan fizikal.

“ Selepas mengikuti kelas (latihan), pengalaman itu dengan sendirinya akan mempersiap saya.

Sesiapa pun boleh sertai seni mempertahan diri ini tidak kira bangsa.

“Setakat ini, saya belum ada apaapa rancangan khusus untuk melanjutkan pelajaran dalam seni mempertahan diri ini di luar negara seperti di Jepun. Jika ada peluang (ke luar negara), saya akan mempertimbangkan. Saya perlu lihat potensi saya dulu.

Tetapi, saya senantiasa bersemangat untuk mengembangkan bakat dan pengalaman saya di sini (Pulau Pinang) dengan jurulatih saya,” ujar beliau.

 Kah Ming turut merakaman penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana mengumumkan penambahan 50 peratus lagi dari jumlah insentif yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) kepada semua atlet yang berjaya dalam SUKMA Ke-16 baru-baru ini.