Projek Perintis BRG – Penambahan Kemudahan di Taman Rekreasi PPR Ampangan

PENDUDUK Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampangan, Ampang Jajar akan menikmati prasarana baru di tempat mereka di mana satu projek penambahan kemudahan Taman Rekreasi yang kini sedang dalam proses pembinaan akan siap tidak lama lagi. Projek penambahan kemudahan Taman Rekreasi ini termasuk pembinaan 2 unit wakaf, 1 tapak refleksiologi dan 4 unit outdoor gym, sesuai dengan permintaan dari penduduk PPR Ampangan sendiri melalui Projek Perintis Bajet Responsif Gender (BRG) yang dijalankan sejak April 2012 lagi.

Projek Perintis BRG yang berjalan selama 3 tahun ini merupakan usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dijalankan melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (Penang Women’s Development Corporation – PWDC) adalah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan dibantu oleh LA21 Ampangan yang mewakili penduduk PPR Ampangan.

Projek BRG ini merupakan projek pertama yang dijalankan di peringkat pihak berkuasa tempatan di Malaysia di mana ia bertujuan mentransformasikan hubungan dua-hala di antara kerajaan tempatan sebagai penyedia perkhidmatan dan rakyat sebagai pengguna perkhidmatan menjadi rakan-kongsi melalui satu proses penyertaan yang sistematik. Projek ini menggalakkan penyertaan penduduk PPR dengan memperkasakan mereka dalam menyuarakan keperluan mereka, dan bersama-sama terlibat dalam perancangan dan membuat keputusan dalam aktiviti dan program yang ingin dijalankan di tempat mereka. Di samping itu juga, ia menggalakkan kerjasama penduduk untuk menjaga kemudahan dan prasarana yang disediakan untuk mereka. Projek BRG menitikberatkan perubahan sikap dan minda dengan menjadikan rakyat sebagai agen perubahan dalam pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Projek Perintis BRG ini bermula dengan Fasa 1: Banci Penduduk – untuk mengetahui latarbelakang penduduk PPR Ampangan yang terdiri dari berbagai kelompok dari segi jantina, umur, etnik, dan sebagainya; dan ia diikuti pula dengan Fasa 2: Kumpulan Tumpu-Bincang (KTB) – untuk mengetahui keperluan penduduk PPR mengikut kelompok jantina dan peringkat umur. Rumusan hasil perbincangan KTB telahdisenaraipendekkan menjadi 7 projek/program yang menjadi keperluan utama penduduk dan melalui Fasa 3: Undi Bajet Keperluan – penduduk yang berumur 10 tahun dan ke atas telah diberi kuasa untuk mengundi projek yang menjadi pilihan untuk direalisasikan di tempat mereka. Hasil dari undian penduduk, Projek Taman Rekreasi yang mengandungi dua (2) unit wakaf, satu (1) unit tapak refleksiologi, empat (4) unit outdoor gym, dan satu (1) gelanggang futsal telah menjadi pilihan penduduk PPR Ampangan.

Akhir sekali, Fasa 4: Rancang, Bentang dan Realisasi Projek Pilihan – yang dijalankan sejak Oktober 2012 di mana penduduk, pihak MPSP dan PWDC bersama-sama melalui proses perbincangan untuk merealisasikan Projek Taman Rekreasi tersebut. Fasa 4 ini merupakan yang paling panjang dan mencabar berbanding dengan fasa-fasa lain kerana ia melalui banyak proses perbincangan antara penduduk dan juga pihak MPSP untuk memastikan projek tersebut terlaksana dengan jayanya dan pada masa yang sama mengikut prosedur-prosedur yang dikehendaki. Namun begitu, tapak futsal yang juga menjadi pilihan penduduk belum dapat dilaksanakan pada fasa inikerana ketiadaan tapak yang sesuai di kawasan sekitar PPR Ampangan dan juga bajet yang tidak mencukupi untuk tahun 2013. Walaubagaimanapun projek gelanggang futsal tersebut akan diusulkan melalui bajet MPSP 2014.

Analisa Insiden Faedah Perbelanjaan Awam (Public Expenditure Benefit Incidence Analysis) yang diperkenalkan di bawah BRG akan dilakukan untuk memantau penggunaan kemudahankemudahan di Taman Rekreasi tersebut. Tujuan analisa tersebut adalah untuk mengkaji pengunaan taman tersebut samada ia memberi manfaatkan kepada penduduk seperti yang diharapkan.Adalah menjadi harapan agar kemudahan ini dapat dinikmati oleh kesemua kelompok penduduk di PPR Ampangan.

Satu Majlis Perasmian penambahan kemudahan Taman Rekreasi oleh MPSP ini akan diadakan pada 25 Ogos bersama dengan Sambutan Hari Kemerdekaan dan Rumah Terbuka Aidilfitri PPR Ampangan.

Satu lagi projek BRG di tingkat komuniti yang sedang giat dijalankan adalah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di PPR Jalan Sungai.