Jurulatih sukan bukan pilihan kongsi pengalaman raih pingat, latih pelapis

Admin

JIKA sebelum ini acapkali penganjuran temasya sukan, tumpuan sentiasa diberikan kepada jenis-jenis sukan popular seperti olahraga, bola sepak, badminton, skuash, sepak takraw dan renang namun sukan tidak kompetatif atau bukan pilihan turut menyerlah dan menjadi penyumbang pingat.

 

Bagi jurulatih skuad memanah Pulau Pinang, G. SHAMANI dan jurulatih pasukan petanque negeri, NASIR MOHD. NOOR, ia tidak melunturkan semangat untuk menyertai mana-mana temasya sukan dan memberikan saingan terbaik.

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama jurugambar NOOR SITI NABILAH sempat meluangkan masa bersama-sama dua jurulatih sukan bukan pilihan yang baru-baru ini menerima pengiktirafan ‘Anugerah Kecemerlangan Jurulatih’ daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

 

Ketika ditemui, Nasir berkongsi kejayaan menuai dua emas, satu perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.

 

“Saya cukup berbangga dengan komitmen tinggi yang diberikan oleh anak-anak buah ketika bersaing.

 

“Walaupun pasukan kami (petanque) kurang publisiti, namun setiap kali penganjuran temasya sukan ia tetap meriah, cuma perlu berdepan beberapa kekangan seperti lokasi latihan, peralatan dan sebagainya,” katanya yang menerima sijil penghargaan dan sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM1,000 daripada MSNPP baru-baru ini.

 

Jelasnya, sebagai jurulatih kepada pelapis sukan petanque di negeri ini, latihan komprehensif amat ditekankan.

 

“Untuk pelapis saya memang berusaha, terutamanya melalui sekolah, kita perlu dapatkan kebenaran dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) terlebih dahulu.

 

“Namun berlaku sedikit kesukaran apabila tidak banyak sekolah masukkan acara petanque memandangkan ia tiada dalam Majlis Sukan Sekolah Pulau Pinang (MSSPP).

 

“Apa-apa pun untuk pelapis memang kita perlukan penglibatan sekolah, untuk itu saya beri cadangan sebelum ini untuk libatkan guru-guru sebagai penyelia atau jurulatih sama seperrti sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak.

 

“(Dan) secara tidak langsung akan tarik minat murid kerana apabila ada guru baru pelajar secara automatik rajin turun padang latihan,” ujar beliau yang lebih 20 tahun berkecimpung dalam arena petanque.

Dalam mengembangkan sukan tersebut, Nasir memaklumkan bahawa usaha memperkenalkan petanque di sekolah-sekolah giat dijalankan.

 

“Salah satu kebaikan petanque yang saya cuba sebelum ini adalah perkenalkan sukan ini kepada golongan orang kurang upaya (OKU) lembam.

 

“Hasil penglibatan OKU tersebut dalam petanque mampu meningkatkan potensi diri, sebab dalam petanque ini ada macam-macam disiplin yang boleh diaplikasikan seperti mengira, fokus dan lain-lain lagi,” jelas Nasir.

 

Difahamkan sukan yang berasal dari negara Perancis itu dibawa ke Malaysia oleh Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid sebagai riadah keluarga.

 

Dalam pada itu, bagi acara sukan memanah, Shamani percaya ia sukan yang tidak kurang hebatnya.

 

“Sukan memanah ini merupakan sukan yang berkait rapat dengan faktor cuaca dan disiplin.

 

“Apabila berlatih memang kita boleh sediakan khemah, tetapi pada hari pertandingan kalau panas, memang panas, sekiranya hujan, kalau ada kilat baru diberhentikan.

 

“Jadi kebanyakkan ibu bapa yang tengok anak mereka terpaksa lalui perkara macam ini, habis… lepas itu mereka tidak akan benarkan lagi anak mereka masuk.

 

“Macam sukan tempur…apabila tengok anak kena sepak, tumbuk… minggu depan terus tarik diri,” ujar Shamani ketika menceritakan pengalaman melahirkan pelapis atlet memanah yang disegani.

 

Menyentuh mengenai pencapaian SUKMA Perak 2018, anak buah Shamini berjaya membawa pulang satu emas, empat perak dan dua gangsa yang mana emas berjaya diraih trion kompaun, M. Khambeswaran, Syed Imran Syed Ibrahim dan Muhamad Faris Jamaludin.

 

Selain faktor cuaca dan mencari pelapis yang berdisiplin tinggi,  masa latihan turut menjadi cabaran. Mana tidaknya, adakala latihan mengambil masa sehingga empat jam sehari.

 

“Dalam pemilihan atlet memanah, faktor tangan juga diambil kira, ada sesetengah individu itu tangan tidak lurus sangat jadi ketepatan memanah akan menjadi sukar,” kata Shamani yang merupakan bekas atlet kebangsaan yang pernah memenangi pingat perak pada Sukan SEA Vietnam.

 

Turut menjadi cabaran adalah latihan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

 

“Baru-baru ini anak didik saya ada yang menyertai pertandingan secara dalam talian.

 

“Pencapaian membanggakan apabila ada yang mendapat (tempat) 10 teratas…bawah 15 (tahun) lelaki pula dapat juara dan bagi wanita tempat keempat serta kompaun lelaki tempat ketiga.

 

“Difahamkan acara ini disertai kira-kira 1,034 atlet memanah dari pelbagai negara,” katanya lagi.