ADUN sumbang hampir RM30,000 naik taraf KAFA di Kampung Melayu

AIR ITAM – Kerja-kerja menaik taraf kemudahan Kelas Al-Quran dan Fardu ‘Ain (KAFA) dekat Madrasatul Hidayatil Islamiyah siap sepenuhnya, selepas lebih 35 tahun beroperasi di sini.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata bahawa projek penarafan melibatkan peruntukannya kira-kira RM29,540 dalam usaha meningkatkan lagi kualiti pendidikan anak-anak orang Islam sekitar Kampung Melayu di sini.

“Paling penting kerja-kerja penarafan ini akan memberi keselesaan kepada 118 murid-murid Tahun 1 hingga Tahun 6 serta guru-guru KAFA di sini.

“Sebagai ADUN, tidak perlu lihat perbezaan kaum, kalau satu-satu permintaan itu mustahak, patut dibantu, saya akan membantu,” jelasnya selepas acara jerayawara di sini pada 4 Disember 2020.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu Rohaizat Hamid dan Tan Soo Siang; Penghulu Pembangunan Daerah (Timur Laut), Nasrizal Nasib; Rachel Teh (Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh) dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu, Abdul Aziz Buhari turut sertai jerayawara tersebut.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Pengetua Sekolah KAFA tersebut, Ustaz Nurul Firdaus Omar merakamkan penghargaan atas kecaknaan Pusat Khidmat Rakyat ADUN Air Itam terhadap mutu institusi pendidikan Islam di Kampung Melayu berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI