Jutaan hidupan marin mati akibat plastik sekali guna, kata Timbalan Menteri

BAYAN LEPAS – Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menyeru masyarakat di negeri ini supaya menghentikan penggunaan plastik sekali guna.

Jelasnya, jutaan plastik sekali guna dipungut di seluruh dunia setiap tahun melalui pelbagai program komuniti pembersihan pantai dan laut sekaligus membuktikan bahawa bahan berkenaan menjadi ancaman kepada hidupan marin.

“Plastik sekali guna kekal sebagai sampah terbanyak dijumpai berhampiran persisir pantai mahupun di dalam laut.

“Selain mengancam hidupan laut, bahan ini juga dilihat mampu menggugat industri pelancongan negara dan kita di Pulau Pinang amat bergantung kepada sektor pelancongan.

“Justeru, semua pihak perlu menunjukkan sokongan dan kerjasama dengan tidak menggunakan plastik sekali guna serta tidak mencemarkan pantai dan lautan yang merupakan khazanah alam tidak ternilai kepada generasi hari ini dan masa depan,” ujar beliau ketika berucap pada Program Pembersihan Pantai Antarabangsa anjuran School of Management (SOM) Universiti Sains Malaysia (USM) dekat persisir pantai Teluk Kumbar.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Dekan SOM, Prof. Dr. Noor Hazlina Ahmad Dekan Sekolah Penggurusan USM; Pengasas Aimpactz Ventures, Dr. Choong Jian Ming; Pengurus Besar Hotel Lexis, Ben Ho Chan Peng; para pelajar USM serta sukarelawan-sukarelawan.

Dalam pada itu, Noor Hazlina yang turut berucap sebelum itu memberitahu bahawa pihaknya berhasrat untuk menjadikan acara yang julung kali diadakan itu sebagai program tahunan.

“Hari Sabtu minggu ketiga pada bulan September memang merupakan hari pembersihan pantai peringkat antarabangsa dengan penglibatan pelbagai negara seluruh dunia.

“Data sampah dipungut juga akan dihantar untuk dikumpul bagi mengenal pasti bahan buangan yang mencemari lautan dan pantai,” ujarnya lagi.

Difahamkan, kira-kira 200 sukarelawan terlibat dalam program tersebut terdiri daripada komuniti, pelajar USM serta pelajar-pelajar dari luar negara.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD