Kadar dividen 6.15 peratus diumum KWSP melebihi jangkaan – Guan Eng

Admin

SEBERANG JAYA – Kadar dividen sebanyak 6.15 peratus yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan prestasi terbaik dan melebihi jangkaan semua pihak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pengumuman kadar dividen itu juga menunjukkan bahawa prestasi ekonomi negara bertambah baik walaupun berhadapan dengan pasaran ekonomi global yang mencabar dan tidak menentu.

“Ramai yang menjangkakan dividen (KWSP) sukar untuk mencapai 5 peratus apatah lagi enam peratus tetapi dalam keadaan ekonomi yang mencabar, KWSP dapat juga beri 6.15 peratus dan ini adalah satu prestasi yang baik.

“Keadaan ekonomi juga dijangka bertambah baik pada tahun ini terutama pada suku terakhir yang mana mengikut ramalan, kita (Malaysia) akan mencapai pertumbuhan kurang daripada 4.5 peratus tetapi sebaliknya kita dapat capai 4.7 peratus.

“Malah, jika kita lihat kepada negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura dan Thailand pun kurang baik berbanding kita,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Jabatan Kastam Diraja Malaysia, di sini semalam.

Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional 2018, dengan agihan dividen sebanyak RM43.00 bilion manakala bagi Simpanan Syariah pula adalah pada kadar 5.90 peratus dengan agihan dividen sebanyak RM4.32 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan adalah sebanyak RM47.31 peratus iaitu turun 1 peratus berbanding pada tahun 2017.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : WONG BOON FOOI