12 lagi blok rumah pangsa di Bandar Seberang Jaya dicat semula, libatkan kos RM1.52 juta

Admin

SEBERANG JAYA – Kerja-kerja mengecat semula 12 lagi blok rumah pangsa di Bandar Seberang Jaya diteruskan bagi fasa kedua melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM1.52 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, 80 peratus kos tersebut dibiayai oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) manakala 20 peratus lagi ditanggung oleh Pejabat Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada janji pilihan raya dalam manifesto ‘Seberang Jaya Maju Bersama’ yang mana kita mahu wujudkan pembangunan komuniti secara menyeluruh sehingga tidak ada yang ketinggalan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika merasmikan Majlis Mula Kerja-Kerja Pengecatan Semula 12 Blok di Bandar Seberang Jaya.

“Saya berasa teruja ingin melihat blok-blok rumah pangsa yang terlibat berubah wajah dan kawasan ini akan menjadi kawasan kejiranan yang selesa selaras dengan visi Penang2030 yang mahu melihat rakyat di negeri ini hidup dalam suasana yang lebih gembira, bersih, hijau dan selamat.

“Justeru, harapan saya selepas kita siapkan program-program ini, kita mahu komuniti juga terlibat secara aktif terutamanya pihak Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB) supaya dapat menjadikan persekitaran di sini lebih baik,” katanya semasa berucap pada majlis mula kerja pengecatan blok-blok rumah pangsa berkaitan.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Hadir sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pengurus Besar Kanan PDC, Mohd. Bazid Abd. Kahar; Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Shuhada Abdul Rahim serta ramai lagi.

Difahamkan, projek pengecatan 12 blok rumah pangsa berkenaan bermula sejak 23 Januari lalu melibatkan blok D10, D15 hingga D19, E1 dan E2 serta B1 hingga B4 dan dijangka siap pada 22 Julai 2019.

Dalam pada itu, Afif menjelaskan bahawa fasa pertama bagi projek berkenaan adalah melibatkan 10 blok rumah pangsa dengan kos berjumlah RM800,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan telah siap sepenuhnya pada awal tahun lepas.

“Sejak dibina 35 tahun lalu, ini kali pertama blok-blok ini dicat semula dan pada masa akan datang kita akan usahakan untuk menambah lagi pencahayaan di kawasan ini bagi mengurangkan masalah terutamanya kes-kes jenayah,” katanya yang juga Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF