Kadar hutang Pulau Pinang terendah, hanya RM49.6 juta – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi muncul sebagai negeri dengan kadar hutang (baki pinjaman belum selesai) paling rendah berbanding negeri-negeri lain setakat 31 Mac 2021.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa laporan itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Kewangan Negara secara dalam talian yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 6 Mei 2021.

Kadar hutang antara neger-negeri setakat 31 Mac 2021.

“Pulau Pinang merupakan negeri yang ada pinjaman belum selesai (kepada Kerajaan Persekutuan) paling kurang iaitu hanya RM RM49.6 juta.

“Kadar ini sangat rendah berbanding negeri-negeri lain yang merekodkan tiga atau empat digit seperti Kedah RM2.6 bilion, Pahang (RM3.2 bilion) dan Selangor (RM1.1 bilion),” katanya semasa sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, beliau berkata Pulau Pinang menjadi negeri kedua paling rendah daripada segi peruntukan diterima dalam Bajet 2022 Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini.

“Pulau Pinang selalu dipinggirkan, dan menjadi negeri yang kedua terendah yang mendapat peruntukan dalam Bajet 2022 Pusat iaitu hanya RM996 juta berbanding negeri-negeri yang menerima sehingga berbilion ringgit.

“Namun begitu, pemberian ini tidak setimpal jika dibandingkan dengan sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

“Oleh itu, kita minta agar diberikan sekurang-kurangnya RM5 bilion setiap tahun supaya kita dapat menggunakan peruntukan ini bagi merancakkan lagi pembagunan di Pulau Pinang demi manfaat dan kesejahteraan rakyat jelata.

“Selain itu, pemberian ini juga akan dapat membantu Pulau Pinang mengharungi tempoh ekonomi yang mencabar ini dan juga mengurangkan defisit Kerajaan Negeri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN / AHMAD ADIL MUHAMAD