Kadar kitar semula meningkat kepada 43.25 peratus di Seberang Perai selepas pelaksanaan Anugerah Sekolah Hijau – YDP

SEBERANG JAYA – Kadar kitar semula dalam kalangan masyarakat di bahagian Seberang Perai didapati semakin meningkat dengan catatan 43.25 peratus tahun 2017 berbanding 22 peratus pada tahun 2008.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, kadar tersebut mula menunjukkan peningkatan apabila program Anugerah Sekolah Hijau giat dilaksanakan Majlis dengan kerjasama syarikat Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd..

Beliau berkata, tujuan program tersebut dilaksanakan adalah untuk memberikan pendekatan secara holistik dalam pengurusan alam sekitar dan menggalakkan penambahbaikan secara berterusan.

“Program ini menerapkan pendidikan alam sekitar kepada semua pelajar untuk membina generasi yang mampu menjaga alam sekitar untuk masa hadapan.

“Malah, program ini juga memberikan pengiktirafan kepada sekolah yang mengurangkan sisa buangan, penjimatan sumber berasaskan satu matlamat iaitu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau 2018 Peringkat Seberang Perai.

Hadir sama Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Ahli-ahli Majlis MPSP, Suhana Kassim (Pengurus Sumber Manusia Continental Automotive Components) dan wakil-wakil penganjur bersama iaitu Jinko Solar Technology Sdn. Bhd. dan Pekat Solar Sdn. Bhd..

Sebanyak 162 sekolah di sekitar kawasan Seberang mengambil bahagian pada penganjuran berkaitan dan 92 buah sekolah daripadanya telah disenarai pendekkan untuk penilaian pihak panel.

Setiap sekolah dinilai mengikut beberapa kriteria utama iaitu kecekapan sumber, asli, inovasi dan kreativiti, kebersihan dan penghijauan, penglibatan komuniti serta persembahan.

Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh diumumkan sebagai johan bagi kategori sekolah rendah, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit bagi kategori sekolah menengah.

Kemenangan tersebut membolehkan sekolah masing-masingnya membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta hadiah panel solar berkapasiti 4 kilowatt sumbangan syarikat Jinko Solar.

Anugerah emas, perak, gangsa dan anugerah khas turut diberikan kepada sekolah-sekolah yang menepati kriteria utama pemarkahan.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD