Kadar kitar semula Pulau Pinang tertinggi dalam negara – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan kadar kitar semula tertinggi dalam negara pada tahun 2018 iaitu sebanyak 42.69 peratus.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, kadar tersebut adalah lebih tinggi berbanding sasaran kadar purata nasional iaitu 24 peratus bagi tahun yang sama.

“Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mencatatkan kadar kitar semula sebanyak 32.9 peratus bagi tahun 2019 iaitu telah melepasi sasaran nasional (27 peratus) bagi tahun ini.

“Manakala bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pula mencatatkan 47.15 peratus pada tahun 2018, melebihi kadar peratusan nasional yang disasarkan iaitu 24 peratus.

“Saya juga dimaklumkan bahawa MPSP masih lagi menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mencatatkan kadar kitar semula paling tinggi dalam negara,” ujarnya pada sidang media selepas menghadiri taklimat sistem parkir pintar ‘Penang Smart Parking’ dekat Komtar, di sini pagi ini.

Turut serta, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Ketua Unit Pengurusan Sisa Pepejal Bahagian Kerajaan Tempatan, Oon Lai Kuan.

Walau bagaimanapun, kata Jagdeep kedua-dua PBT perlu mengambil langkah lebih proaktif bagi meningkatkan lagi kadar kitar semula di negeri ini.

“Tindakan penguatkuasaan juga perlu ditingkatkan kepada pihak-pihak berkaitan yang masih tidak mematuhi Dasar Pengasingan Sisa Di Punca,” tegasnya.

Sementara itu, Tung Seang berkata, sasaran MBPP pada masa ini adalah untuk mengurangkan sisa domestik yang dihantar ke tapak pelupusan Pulau Burong.

“Pelbagai usaha kita (MBPP) lakukan termasuk mengadakan kerjasama dengan komuniti setempat serta melaksanakan program-program pendidikan sehingga membolehkan Pulau Pinang mencapai kadar kitar semula paling tinggi dalam negara,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN