Penang Smart Parking fasa pertama bakal dilancar Ogos ini

Admin

GEORGE TOWN – Projek perintis sistem tempat letak kereta secara pintar, Penang Smart Parking (PSP) bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Ogos ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pemasangan sensor bagi projek fasa pertama sudah bermula dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir bulan Ogos.

“Sebanyak 647 petak tempat letak kereta terlibat di bahagian pulau dan 350 petak di Seberang Perai.

“Ciri-ciri utama sistem ini adalah menjimatkan masa, lebih hijau, pintar serta proses penguatkuasaan bakal menjadi lebih efisien,” ujarnya ketika berucap pada sesi taklimat sistem berkaitan dekat Auditorium F, Komtar, tadi.

Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan hadir mendengar sesi taklimat berkaitan sistem parkir pintar dekat Auditorium F, Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Ahli-Ahli Majlis bagi MBPP; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, ‘Aishah Md. Norodin dan ramai lagi.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk mengekalkan kadar bayaran parkir sedia ada.

““Bagi bahagian pulau, kadar 80 sen sejam dan bagi kawasan MPSP kekal 40 sen sejam. Begitu juga bagi pas bulanan, kekal RM150 sebulan di bahagian pulau dan RM75 sebulan (MPSP).

“Manakala bagi waktu kawalan kadar bayaran diselaraskan bagi seluruh negeri Pulau Pinang iaitu Isnin hingga Sabtu kecuali hari Ahad dan cuti umum bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa tender bagi projek berkenaan dianugerahkan kepada syarikat HeiTech Padu Berhad melalui tawaran bernilai RM115 juta.

“Ini adalah projek usahasama antara Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan adalah untuk tempoh 5+2 tahun bermula Mei 2019.

“(Dan) Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan apa-apa kos bagi projek ini kerana ia dibiayai sepenuhnya oleh syarikat terbabit,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN