Kadar rumah tidak terjual di Pulau Pinang terkawal, merosot 1 peratus – Jagdeep

TANJONG BUNGA – Kadar pertumbuhan rumah tidak terjual di Pulau Pinang masih terkawal dengan mencatatkan penurunan sebanyak satu peratus.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mendedahkan bahawa jumlah rumah tidak terjual sehingga suku kedua tahun 2019 (2Q19) di negeri ini adalah sebanyak 3,929 unit berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya iaitu 3,958 unit.

“Isu rumah tak terjual berlaku di seluruh Malaysia, bukan sahaja di sini (Pulau Pinang).

“Kalau kita lihat pada unit-unit rumah yang tidak dijual, Pulau Pinang terkawal berbandimg bandar raya lain di tanah air ini.

“Selalu saya sebut, walaupun di Pulau Pinang juga ada masalah rumah tak terjual, tapi ia dapat dikawal,” jelasnya yang juga anggota Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara penyerahan 1,320 kediaman Rumah Mampu Milik (RMM) berharga sehingga RM300,000 seunit dekat Menara A dan B Santorini, berhampiran pasar raya Tesco Seri Tanjung Pinang, di sini.

Menurut Jagdeep, sebanyak 835 unit RMM di Menara C Santorini telah diserah dalam satu majlis berasingan pada 23 Ogos lepas.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Ideal United Bintang International Berhad (IUBIB), Tan Sri Datuk Alex Ooi dan Puan Sri Datuk Joanne Phor, serta wakil NAPIC.

Berdasarkan sumber sama, Jagdeep memberitahu bahawa kadar rumah tidak terjual di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor masing-masing meningkat sebanyak 19 peratus dan 3 peratus.

Justeru, Jagdeep memberitahu, mulai tahun 2020, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbicangan bersama-sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta syarikat-syarikat pemaju swasta mengenai pembaharuan polisi ke arah mengurangkan lagi kadar rumah tidak terjual di samping meningkatkan perbekalan RMM di negeri ini.

“Sekarang, kita ada 102,000 unit rumah di Pulau Pinang, tapi perancangan jangka panjang kita selepas melakukan beberapa pengubahsuaian (polisi perumahan sedia ada nanti) pada tahun 2030, kita (Kerajaan Negeri) harap jumlah rumah yang dibekalkan pada tahun 2030 nanti adalah mencecah 180,000 unit,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Selain itu, beliau turut mengulas mengenai kenyataan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek berhubung 14 Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu akan dilaksanakan mulai tahun 2020.

“Kalau 14 projek PPR baharu akan dibina di seluruh negara, saya minta agar Pulau Pinang diberikan keutamaan, memandangkan kita telahpun dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu (sebelum PRU14) di mana kita (Pulau Pinang) dari sudut mempunyai PPR, adalah paling sedikit berbanding negeri-negeri lain,” tegasnya.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: CHAN KOK KUAN