Klinik sukan platform lahirkan lebih ramai atlet pelapis, kata Exco

GEORGE TOWN – Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini wajar mewujudkan klinik sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam pelbagai acara pada masa akan datang.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, langkah tersebut membolehkan Kerajaan Negeri melahirkan lebih ramai atlet untuk mewakili pasukan negara sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Lip Chee menyertai acara badminton beregu bersama atlet kebangsaan jemputan, Tan Boon Heong.

“Jika setiap KADUN (40 KADUN) ada satu klinik sukan, maka lebih ramai pelapis sukan akan dilahirkan seperti jaguh sukan negara kita Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong dan ramai lagi.

“Setakat ini, 37 atlet Pulau Pinang telah mewakili negara dalam pelbagai acara dalam tempoh 10 tahun ini.

“Justeru, dengan adanya lebih banyak klinik sukan, kita harap dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Fiesta Sukan Untuk Semua di sini, semalam.

Hadir Sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan bekas pemain badminton terkemuka negara, Tan Boon Heong.

Lip Chee yang juga ADUN Bagan Jermal berkata, dengan kewujudan klinik sukan tersebut juga diharap dapat menarik minat masyarakat untuk bersukan dan kekal aktif.

Sementara itu, Lip Chee menyeru orang ramai supaya mengunjungi Kompleks Sukan Permata dekat Air Itam di sini untuk mempelajari sukan renang secara percuma dengan jurulatih.

“Di KADUN Air Itam, kita mulakan dengan acara renang dahulu dengan harapan dapat memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai sukan renang manakala KADUN (Bagan Jermal) saya pula tekankan sukan badminton dan ping pong,” katanya.

Fiesta Sukan Untuk Semua Pulau Pinang berlangsung sejak 2 Disember lepas dan berakhir semalam dengan mengetengahkah sukan badminton sebagai tema sukan tahun ini.

Terdahulu, Lip Chee menyertai acara badminton beregu bersama Boon Heong yang pernah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas untuk acara badminton beregu lelaki pada Sukan Komanwel 2010.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF