‘Satu Kelas Satu Landskap’, SJKC Jelutong jadi sekolah perintis

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Setiap kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jelutong kini lebih aktif dengan kewujudan taman-taman mini menyinari landskap sekolah tersebut. Setiap pelajar ditugaskan untuk bersama-sama menjaga pokok-pokok renek termasuk pokok bunga dan kaktus mengikut kelas masing-masing.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong, dengan berbekalkan dana RM6,000, pelajar di SJKC Jelutong telah berjaya mewujudkan 24 taman mini.

“Dana tersebut diluluskan pada April lalu iaitu ketika saya masih lagi Ahli Majlis bagi MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) bersama-sama rakan sejawat ketika itu, Grace Teoh.

“Ia tidaklah mahal, bajet diberikan oleh MBPP melalui inisiatif ‘Satu Kelas Satu Landskap’ amat berbaloi dengan jumlah pasu yang ada dan kos untuk pokok,” katanya ketika hadir ke sekolah berkenaan bagi Program Pengasingan Sisa Di Punca baru-baru ini.

Turut sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Mubarak Junus dan Guru Besar, Tan Ko Leong. Rayer dalam pada itu berkata, inisiatif ‘Satu Kelas Satu Landskap’ perlu diperluaskan ke sekolah-sekolah lain di negeri ini.

“Pastinya, kita (Kerajaan Negeri) mahu memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah dengan menekankan pengasingan sisa di punca.

“Apabila banyak sekolah yang menyertai inisiatif ini, mereka pasti berlumba-lumba dan bersaing secara sihat untuk menjadi sekolah terindah,” jelasnya.

Sejajar dengan usaha ke arah negeri hijau, SJKC Jelutong menjadi sekolah perintis dan merupakan sekolah pertama di negeri ini yang mempunyai taman mini mengikut kelas di dalam kawasan sekolah.