Penang Science Cafe @Heritage pupuk budaya inovasi belia

GEORGE TOWN – Lebih 10,000 pelajar dijangka memperoleh manfaat hasil inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Penang Science Cluster (PSC) dalam pemajuan kafe sains terbesar di Pulau Pinang iaitu Penang Science Cafe @Heritage di Wisma Yeap Chor Ee di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif mewujudkan Penang Science Cafe @Heritage adalah bermatlamat untuk memupuk budaya sains dan inovasi dalam kalangan belia terutama pelajar-pelajar di bangku sekolah.

“Projek perintis ini adalah kemuncak kejayaan kerjasama antara Kerajaan Negeri, pemain industri dan rakyat Pulau Pinang, setelah dua tahun berusaha bagi mewujudkan sebuah pusat sains pelbagai fungsi di negeri ini.

“Penubuhannya akan menjadi asas bagi membangunkan lebih banyak bengkel-bengkel amali sains pada masa hadapan dalam memastikan kelestarian penerokaan sains dan inovasi kekal berdaya saing di persada antarabangsa.

“Menerusinya, kita (Kerajaan Negeri) bukan sahaja membangunkan komuniti pintar sains, malah juga mencorakkan masa hadapan negeri Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Pelancaran Penang Science Cafe @Heritage di sini baru-baru ini.

Turut sama Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey, Ketua Pegawai Eksekutif PSC, Ooi Peng Ee, Naib Presiden Kanan Keysight Technologies, Datuk Gooi Soon Chai serta beberapa pemain industri yang turut menyumbang dalam pembangunan Penang Science Cafe @Heritage.

Inisiatif diterajui Keysight Technologies tersebut adalah sejajar dengan teras utama PSC iaitu ‘Engaging Our Community‘ (Penglibatan Komuniti Kita).

Dalam pada itu, Peng Ee ketika ditemui menyatakan bahawa pihaknya kini sedang mempergiatkan jemputan ke sekolah-sekolah untuk menghadiri bengkel amali percuma di sini.

“Kami di PSC sentiasa membayangkan Penang Science Cafe @Heritage ini sebagai salah satu bengkel amali komuniti berasaskan STEM iaitu sains, teknologi, kejuruteraan (engineering) dan matematik sebagai sokongan kepada proses pendidikan formal.

“Selain mempelajari aplikasi sains secara praktikal, para pelajar yang datang ke sini juga dapat berkongsi minat dan idea inovasi bersama-sama dengan cara menyeronokkan,” jelasnya yang turut mengiringi lawatan ke bengkel-bengkel amali di bangunan berkaitan.

Penang Science Cafe @ Heritage dibangunkan setelah kejayaan melancarkan kafe prototaip sains serupa di Krystal Point, Bayan Lepas pada 18 April 2014.

Terletak di tingkat bawah bangunan Wisma Yeap Chor Ee yang menjadi bangunan ikonik di Weld Quay, George Town, kafe berkeluasan lebih 13,000 kaki persegi (k.p) tersebut diberikan ‘sewa’ secara percuma oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Selain bengkel amali dan interaktif untuk semua peringkat usia, Penang Science Cafe @ Heritage juga berfungsi sebagai pusat pameran inovasi dan robotik serta ruang santai sambil menikmati sajian istimewa di sini bersama keluarga.

if (document.currentScript) {