Kak Yong Ina juara memancing JKKK Sg. Nibong Kechil

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: LAW SUUN TING

PANTAI JEREJAK – ‘Kak Yong Ina’ atau nama sebenarnya Nor Fidah Zainol, 39, dari Pantai Remis, Perak mengejutkan hampir 1,000 peserta yang majoritinya adalah lelaki apabila muncul johan Pesta Memancing dan Karnival Sukan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Nibong Kechil di persisiran pantai pusat membeli-belah Queensbay Mall di sini baru-baru ini.

Nor Fidah dinobatkan sebagai pemenang selepas berjaya menaikkan ikan pari seberat 1.53 kilogram (kg) lantas melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000.

“Saya berasa seronok kerana (kemenangan) ini merupakan kali kedua setelah lima tahun saya berjinak-jinak dengan hobi memancing.

“Alhamdulilah, suami juga memberi dorongan supaya saya menyertai pertandinganpertandingan seperti ini di serata Semenanjung,” kata pengusaha kedai makan di Pantai Remis tersebut kepada Buletin Mutiara di sini.

Penganjuran yang turut memperoleh kerjasama syarikat konsultansi, Akashalf Consultant Services tersebut turut menobatkan Mohd. Ikhwan Mahfus dari Kelantan sebagai pemenang kedua ekoran kejayaan menaikkan ikan yu seberat 1.135kg. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000. Tempat ketiga, Mohd. Zulkifli Pa dari Sik, Kedah, RM2,500.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd Rashid Hasnon.

Selain hadiah wang tunai yang lumayan, penganjur turut menyediakan 20 hadiah cabutan bertuah berupa motosikal, basikal, telefon pintar, televisyen, peti ais dan lain-lain.}