600 terima bantuan persekolahan 2015 Pejabat KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PINANG TUNGGAL – Seramai 600 pelajar dari 10 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang dikuasai pembangkang Pulau Pinang dipilih menerima bantuan persekolahan berjumlah RM60,000 daripada peruntukan Pejabat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan LimGuan Eng di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari semasa mewakili Guan Eng dalam ucapannya berkata, pemberian bantuan tersebut diharap dapat mengurangkan lagi beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak pada hujung tahun ini.

“Bantuan persekolahan ini sebenarnya untuk mengurangkan beban ibu bapa…saya sendiri sebagai bapa yang anak saya akan mula masuk darjah satu tahun depan pun merasai kos persiapan persekolahan tidak lagi semurah dahulu.

“Keadaan ekonomi kita kurang baik, pendapatan rakyat pun tidak meningkat, ditambah lagi dengan beban GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) serta nilai mata wang RM (Ringgit Malaysia) yang merosot sememangnya menyusahkan hidup rakyat Malaysia,” ujarnya kepada wartawan selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan 2015 Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhamad, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohamad Shaipol Ismail, Ahli Lembaga Pengarah bagi Zakat Pulau Pinang (ZPP), Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman serta beberapa anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Tok Bedu turut menyertai majlis penyampaian berkenaan.

Difahamkan, pemberian bantuan sumbangan terbabit adalah membabitkan pelajar-pelajar dari KADUN Pinang Tunggal, Bertam, Penaga, Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Permatang Berangan, Sungai Acheh, Teluk Bahang, Pulau Betong dan Bayan Lepas.

Sebanyak 60 pelajar dari tiap-tiap KADUN terpilih menerima pelbagai bantuan persekolahan yang keseluruhannya berjumlah RM60,000.