Kaki lima bebas halangan, peniaga Lebuh Chulia sambut baik

PADANG KOTA – Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhammad Bakhtiar Wan Chik memaklumkan bahawa rata-rata peniaga di kawasan sekitar Lebuh Chulia menyambut baik saranan MBPP untuk menjadikan kaki lima kawasan berkaitan bebas halangan.

Katanya, sebelum ini, pelbagai bentuk halangan wujud sepanjang kaki lima di Lebuh Chulia sama ada struktur kekal mahupun separa kekal.

“Daripada 28 bentuk halangan kekal yang kita (MBPP) kenal pasti di Lebuh Chulia, 23 daripadanya dirobohkan sendiri oleh pemilik kedai yang sedar akan kepentingan perlunya mengosongkan laluan kaki lima daripada sebarang halangan, manakala bakinya dilakukan (dirobohkan) oleh MBPP.

“Kita (MBPP) mahu lihat kaki lima di negeri ini bebas halangan dan mesra pejalan kaki kerana ia mungkin boleh menjadi faktor kepada pengurangan penggunaan kenderaan apabila kaki lima lebih mesra pejalan kaki,” ujarnya pada sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 9 Tahun 2017 di sini baru-baru ini.

Tambah Muhammad Bakhtiar, Lebuh Chulia dijadikan sebagai projek perintis kaki lima yang mesra pejalan kaki di Pulau Pinang sebelum diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.