Maimumah terima anugerah MPC, MBPP diiktiraf 5 Bintang

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG KOTA – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dianugerahkan sijil ‘Kepimpinan Melalui Teladan, Peningkatan Produktiviti daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (Malaysia Productivity Improvement, MPC) baru-baru ini.

Berkongsi kegembiraan tersebut bersama-sama para pemberita sejurus Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 9 Tahun 2017, Maimunah berkata, penganugerahan itu menjadi pemangkin kepadanya untuk terus menerajui pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan agar produktiviti kerja dapat dipertingkatkan termasuk memberi perkhidmatan terbaik serta berkualiti kepada rakyat Pulau Pinang.

“Bagi saya, ini bukanlah anugerah individu semata-mata, bahkan hasil usaha dan juga kerja keras daripada semua warga MBPP yang menjalankan tanggungjawab sehabis baik,” ujarnya yang menyatakan komitmen untuk terus membangunkan aspek pengukuran produktiviti seperti kedudukan daya saing, kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan MBPP di sini.

Dalam perkembangan sama, Maimunah turut memaklumkan bahawa MBPP juga menerima penarafan 5 Bintang bagi tahun 2016 daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Penarafan 5 Bintang yang diberikan melalui Sistem Penarafan Bintang PBT oleh KPKT membuktikan prestasi yang memberangsangkan MBPP sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk terus meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita (MBPP) berada di tangga kedua dengan pungutan markah 96.24 peratus di belakang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perak…dan tahun depan kita mensasarkan tempat pertama pula,” jelasnya.

Difahamkan, antara kriteria penilaian termasuklah sistem pengurusan, pengurusan pelanggan, perkhidmatan teras, penyertaan komuniti dan pandangan penduduk setempat.