Karnival Kesihatan berkala tingkat kesedaran penjagaan kesihatan umum

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin percaya bahawa menerusi penganjuran karnival kesihatan secara berkala ia mampu memberi impak positif kepada masyarakat.

Menurutnya, selain memberi manfaat, karnival seumpama dianjurkan di bangunan pentadbiran kerajaan bukan sahaja mampu meningkatkan tahap kesedaran berhubung kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan penjawat awam, malah juga masyarakat keseluruhannya.

“Karnival sebegini bagus kerana ia mampu meningkatkan kesedaran tentang kesihatan dalam kalangan penjawat awam khususnya golongan wanita.

” Syabas dan tahniah kepada PUSPANITA (Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia) Daerah Timur Laut kerana menganjurkan karnival sebegini untuk kali kedua tahun ini,” ujar beliau pada penganjuran Mini Karnival Kesihatan PUSPANITA Daerah Timur Laut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PUSPANITA Daerah Timur Laut yang juga Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Pejabat Daerah Timur Laut, Nurshamshinaz Shamsuddin.

Mini Karnival Kesihatan tersebut turut mendapat kerjasama MMK Kesihatan, Klinik Kesihatan Jalan Perak, Klinik Kesihatan Jalan Macalister, Tabung Darah Hospital Pulau Pinang dan HB Laboratories Sdn. Bhd..

Dalam pada itu, Nurshamshinaz memberitahu bahawa penganjuran pertama pada 25 Ogos lalu memperoleh sambutan sangat menggalakkan.

“Rentetan itu, kita adakan sekali lagi, cuma kali ini, selain derma darah, turut diadakan pemeriksaan pap smear dan mammogram khusus untuk golongan wanita,” jelasnya.