Bukit Tambun bakal miliki gelanggang bola keranjang berbumbung pertama

BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM226,184.80 bagi kerja-kerja menaik taraf sebuah gelanggang bola keranjang di Taman Tangling, Simpang Ampat dekat sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang sebelum ini telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi menambah baik gelanggang bola keranjang tersebut.

“Meskipun Kerajaan Negeri perlu membuat peruntukan bagi membiayai bantuan bencana banjir, ia tetap tidak menjejaskan prancangan yang dibuat untuk rakyat.

“Berlainan ketika pentadbiran BN (Barisan Nasional) dahulu yang lebih mementingkan pembangunan di bahagian pulau, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan hari ini memperuntukkan RM3.1 bilion bagi pembangunan infrastruktur dan 77 peratus daripadanya adalah untuk kawasan Seberang Perai,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke gelanggang berkaitan di sini 6 Disember lalu.

Turut sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng dan beberapa wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Simpang Ampat.

Dalam pada itu, Choo Kiang yang ditemui pada lawatan berkenaan menyatakan bahawa apabila siap kelak, gelanggang tersebut akan menjadi gelanggang bola keranjang berbumbung pertama di kawasan Bukit Tambun.

Difahamkan, projek menaik taraf tersebut akan dimulakan dalam waktu terdekat dan dijangka siap sebelum sambutan Tahun Baru Cina nanti.