Karnival Kesihatan & Sukan Bukit Gelugor meriah dan sarat aktiviti

Admin

AIR ITAM – Karnival Kesihatan dan Sukan yang dianjurkan secara usahasama Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Pejabat ADUN Air Itam baru-baru ini meriah dan sarat dengan pelbagai aktiviti menarik.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, penganjuran karnival tahunan itu bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.

“Saya yakin, penglibatan orang ramai khasnya penduduk di sekitar sini dalam program sebegini dapat memupuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan saling hormat menghormati.

“Saya difahamkan juga, sempena penganjuran karnival ini, pelbagai aktiviti disediakan dan paling dinanti-nantikan adalah pertandingan bola sepak,” ujarnya ketika berucap merasmikan karnival berkaitan di Padang Flat Harmoni, dekat Masjid Negeri, Sabtu lalu.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Selain pemeriksaan kesihatan percuma, turut diadakan taklimat berhubung pemasangan alat perangkap nyamuk serta aktiviti gotong-royong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Masjid Negeri, Mohamed Farook Ismail ketika dihubungi berkata, karnival tahunan kali ini sangat meriah dengan penyertaan lebih 200 orang dalam aktiviti gotong-royong.

“Selain pasukan bomba, turut serta dalam aktiviti ini adalah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pasukan COMBI (Communication for Behavioral Impact) Jalan Masjid Negeri dan Kebangsaan, Perpustakaan Negeri serta Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut.

“Malah, Persatuan Penduduk Flat Harmoni juga tidak ketinggalan untuk turut serta dalam pelbagai program dan aktiviti yang disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 14 pasukan mengambil bahagian dalam Pertandingan Bola Sepak Piala Pusingan YB Ramkarpal Singh kali ini.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : JKKK JALAN MASJID NEGERI